17 JANUARI 2023
MEXICO
Seluruh Bible Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Mexico
Pada 1 Januari 2023, Saudara Armando Ochoa, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Tengah, mengumumkan pengeluaran Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Isyarat Mexico (LSM). Bible ini kini tersedia di jw.org dan aplikasi JW Library Bahasa Isyarat. Berita yang menggemparkan ini telah dibuat semasa perhimpunan istimewa yang diadakan di Dewan Perhimpunan El Tejocote.
Program ini merupakan perhimpunan bersemuka yang pertama bagi saudara saudari di kawasan cawangan Amerika Tengah sejak pandemik COVID-19 melanda. Sejumlah 2,317 saudara saudari telah menghadiri acara ini di dewan tersebut. Ribuan hadirin lain pula menonton siaran langsung program ini dari Dewan Perhimpunan dan Dewan Perjumpaan lain di Mexico.
Encik Sergio Peña, seorang pakar dalam Bahasa Isyarat Amerika dan LSM, dan Puan María Teresa Vázquez, ketua pengarah Institut Inklusif bagi Orang Kurang Upaya di Yucatan, turut menghadiri acara ini.
Encik Peña meluahkan penghargaannya dan berkata, “Saya mahu memuji usaha Saksi-Saksi Yehuwa di Mexico. Mulai 1 Januari 2023, golongan orang pekak boleh memiliki . . . Bible yang lengkap dalam LSM. Saya benar-benar rasa kagum. Ini ialah ‘karya seni yang sangat menakjubkan.’”
Kerja terjemahan Bible ke dalam LSM telah bermula pada Ogos 2008. Buku-buku kecil telah dikeluarkan secara beransur-ansur, bermula dengan bahagian Kitab Yunani Kristian. Selepas 14 tahun, seluruh Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dan merupakan Bible lengkap pertama dalam LSM.
Semasa pandemik COVID-19, para penyiar yang pekak telah mendapat manfaat daripada persediaan ini. Seorang saudara kata, “Saya sangat menghargai usaha untuk menghasilkan buku-buku kecil Bible, bahkan semasa pandemik sedang melanda. Yehuwa selalu memastikan kami ada banyak makanan rohani.”
Seorang saudari yang pekak juga kata, “Sebelum kami ada Terjemahan Dunia Baharu dalam LSM, saudara saudari akan bantu menterjemahkan ayat-ayat Bible untuk saya. Tapi, mereka tidak dapat menterjemahkannya dalam cara yang sama setiap kali. Jadi saya tidak dapat menghafal ayat-ayat Bible. Sekarang, saya dapat mengkaji ayat-ayat Bible dan memahaminya sendiri.”
Kita yakin bahawa saudara saudari kita yang pekak atau mempunyai masalah pendengaran akan mendapat banyak manfaat daripada Bible baharu ini. Kita berdoa agar Yehuwa memberkati usaha rakan seiman kita untuk menyebarkan mesej yang membawa “harapan dan masa depan yang baik.”—Yeremia 29:11.