19 OKTOBER 2023
MICRONESIA
Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Chuuk
Pada 1 Oktober 2023, Saudara Carlito Dela Cruz, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Micronesia, telah mengeluarkan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Chuuk. Pengumuman itu telah dibuat semasa sebuah perjumpaan istimewa yang diadakan di Chuuk, Micronesia. Seramai 83 orang telah menghadiri acara itu secara bersemuka. Selain mereka, terdapat 435 sambungan untuk menonton program ini menerusi persidangan video, termasuk individu dari sidang dan kumpulan bahasa Chuuk di Guam dan Amerika Syarikat. Pengeluaran dalam bentuk digital dapat dimuat turun sejurus selepas pengumuman itu. Edisi bercetak pula akan tersedia pada Januari 2024.
Bahasa ini sering digunakan di kepulauan Chuuk, yang terletak di bahagian barat Lautan Pasifik dan merupakan sebahagian daripada Persekutuan Micronesia. Pada 1978, Saksi-Saksi Yehuwa telah mula menterjemahkan bahan bacaan Bible ke dalam bahasa Chuuk. Kini, terdapat kira-kira 180 saudara saudari yang berkhidmat di dua sidang bahasa Chuuk di kepulauan Chuuk, satu sidang di Pulau Guam, dan satu sidang, tiga kumpulan, dan satu prakumpulan bahasa Chuuk di Amerika Syarikat.
Walaupun terdapat terjemahan Bible lain dalam bahasa Chuuk, kebanyakannya tidak mengandungi nama Tuhan, iaitu Yehuwa. Sebaliknya, Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu mengembalikan nama Tuhan ke dalam Bible, seperti yang terdapat dalam teks asal. Saudara Dela Cruz berkata, “Saya yakin Bible ini akan bantu lebih ramai penutur bahasa Chuuk untuk mengenali Yehuwa dan menghampiri-Nya.”
Kita amat bergembira atas pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Chuuk. Bible ini pasti akan membantu lebih ramai “orang yang memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal” untuk terus mengenali Yehuwa.—Kisah 13:48.