24 MEI 2019
MICRONESIA
Pengeluaran Kitab Yunani Kristian dalam Bahasa Marshall
Pada 19 Mei 2019, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengeluarkan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Marshall. Acara istimewa itu diadakan di The University of the South Pacific di Majuro, Kepulauan Marshall. Acara tersebut juga disiarkan di sebuah Dewan Perjumpaan di Pulau Ebeye, yang terletak lebih daripada 440 kilometer dari Majuro.
Sejumlah 339 orang menghadiri acara istimewa itu, termasuk 151 penyiar yang berkhidmat di empat buah sidang di Kepulauan Marshall. Penyiar-penyiar tersebut bersama dengan 325 penyiar lain, yang berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa Marshall di Amerika Syarikat, dapat menggunakan terjemahan ini semasa perjumpaan, pembelajaran peribadi, dan kerja menginjil. Di serata dunia, terdapat kira-kira 61,000 orang yang bertutur bahasa Marshall.
Seorang saudara yang turut terlibat dalam projek penterjemahan menjelaskan, “Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu ini merupakan terjemahan moden yang pertama dalam bahasa Marshall yang mengembalikan nama Yehuwa ke semua tempat asalnya dalam Bible. Terjemahan ini dapat dipercayai, dan akan membantu saudara saudari untuk terus menguatkan kasih mereka kepada Yehuwa.”
Kami berasa gembira dengan pengeluaran Bible dalam bahasa Marshall. Hal ini membuktikan bahawa Yehuwa memberkati kerja penterjemahan dalam pelbagai bahasa.—Mazmur 49:1, 2.