Lompat ke kandungan

22 JUN 2023
MOZAMBIQUE

Bible Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Changana (Mozambique)

Bible Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Changana (Mozambique)

Pada 18 Jun 2023, Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dalam bahasa Changana (Mozambique). Saudara Charles Fonseca, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Mozambique, telah membuat pengumuman ini kepada 16,245 orang semasa acara yang diadakan di Maputo, iaitu ibu kota Mozambique. Para hadirin telah menerima salinan Bible ini dan edisi digital juga dapat dimuat turun.

Bahasa Changana (Mozambique) digunakan secara meluas di kawasan selatan Mozambique, iaitu di Maputo dan Gaza. Kira-kira 4.2 juta orang menuturkan bahasa ini. Oleh sebab terdapat banyak dialek bagi bahasa Changana (Mozambique), kumpulan penterjemah berusaha mengenal pasti dan menggunakan perkataan yang paling biasa dan kerap digunakan oleh kebanyakan penutur bahasa Changana (Mozambique).

Sebelum terjemahan Bible ini dikeluarkan, ramai saudara saudari yang menuturkan bahasa Changana (Mozambique) menggunakan Bible dalam bahasa Tsonga. Walaupun kedua-dua bahasa ini mempunyai persamaan, sesetengah penyiar rasa susah untuk mempelajari Bible kerana mereka harus menggunakan bahasa Tsonga. Seorang penterjemah kata, “Dengan terjemahan baharu ini, kandungan Bible dapat terus mencapai hati orang yang menggunakan bahasa Changana (Mozambique).”

Seorang lagi penterjemah memberikan contoh yang menunjukkan perbezaan antara Bible Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Changana (Mozambique) dengan Bible lain. Dia kata, “Di kawasan ini, terdapat beberapa bahasa peribumi. Sesetengah Bible dalam bahasa-bahasa tersebut menterjemahkan istilah ‘nafas kehidupan’ dengan menggunakan perkataan yang membawa maksud roh atau jiwa yang terus hidup selepas seseorang meninggal. Tetapi, Bible Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Changana (Mozambique) menyampaikan mesej yang tepat dengan menyatakan bahawa ‘nafas kehidupan’ akan kembali, bukan kepada orang itu, tetapi kepada Pencipta.”

Firman Tuhan kini menjadi semakin jelas bagi penutur bahasa Changana (Mozambique). Kita bersukacita kerana Yehuwa ‘memberikan cahaya dan kebenaran-Nya’ melalui Bible ini.—Mazmur 43:3.