Lompat ke kandungan

17 NOVEMBER 2020
MOZAMBIQUE

Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Gitonga dan Ronga

Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Gitonga dan Ronga

Pada 14 dan 15 November 2020, Bible—Berita Baik Menurut Matius bahasa Gitonga dan Ronga telah dikeluarkan dalam bentuk digital. Kedua-dua bahasa ini digunakan di bahagian selatan Mozambique. Buku ini merupakan kurniaan Yehuwa yang disediakan tepat pada masanya bagi 524 orang penyiar berbahasa Gitonga dan 1,911 orang penyiar berbahasa Ronga.

Saudara Amaro Teixeira, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Mozambique, mengumumkan pengeluaran buku Bible ini melalui program yang sudah dirakamkan. Acara ini disiarkan melalui Internet (streaming). Selain itu, para saudara mendapat kebenaran untuk menyiarkan program ini melalui stesen TV kebangsaan dan beberapa stesen radio tempatan. Oleh sebab banyak pembaca tidak dapat memuat turun versi digital, pengeluaran ini juga boleh didapati dalam bentuk buku kecil yang mempunyai 64 muka surat.

Saudara Teixeira mengatakan, “Tidak ada banyak Bible dan bahan bacaan Bible dalam bahasa-bahasa ini. Kami sangat gembira menerima pengeluaran ini, kerana buku ini mengandungi maklumat tentang salasilah dan kelahiran Yesus, Ceramah Di Atas Gunung yang disampaikannya, dan nubuat Yesus tentang hari-hari terakhir.”

Mengenai terjemahan yang tepat dan senang difahami ini, seorang penterjemah mengatakan, “Buku Matius kaya dengan ajaran rohani. Saya dapat bayangkan pembaca menitiskan air mata kerana tersentuh apabila membaca Ceramah Di Atas Gunung dalam bahasa mereka sendiri.”

Pakar menganggarkan bahawa sekitar 224,000 orang menuturkan bahasa Gitonga manakala sekitar 423,000 orang menuturkan bahasa Ronga. Kami berharap terjemahan Bible ini akan membantu lebih banyak orang menemui ‘jalan yang menuju kehidupan.’—Matius 7:14.