29 JUN 2021
MOZAMBIQUE
Pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Nyungwe
Pada 27 Jun 2021, Saudara Adão Costa, ahli Jawatankuasa Cawangan Mozambique, mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Nyungwe. Dalam sebuah rakaman program yang disiarkan kepada lebih daripada 2,600 penyiar, Bible ini telah dikeluarkan dalam bentuk digital. Program tersebut juga telah disiarkan oleh sebuah stesen televisyen kebangsaan dan pelbagai stesen radio tempatan.
Maklumat Menarik
Bahasa Nyungwe digunakan terutamanya di Wilayah Tete, barat laut Mozambique
400,000 orang dianggarkan menutur bahasa Nyungwe
Seramai 6 penterjemah telah mengambil masa 2 tahun untuk menyempurnakan terjemahan ini
Saudara Costa menjelaskan, “Untuk banyak tahun, Bible tidak tersedia dalam bahasa Nyungwe. Jadi, saudara saudari yang berbahasa Nyungwe terpaksa menggunakan Bible kita dalam bahasa Chichewa. Ini membawa cabaran kerana banyak ungkapan dan perkataan Chichewa sering disalah faham.”
Sebelum pengeluaran Bible tersebut, seorang penterjemah berkata, “Para penyiar pasti berbesar hati semasa menerima Bible ini. Bagi mereka, ini bagaikan mimpi, sebuah mukjizat daripada Yehuwa. Mereka akan sangat berterima kasih kepada Yehuwa.”
Kita berdoa semoga terjemahan ini membantu lebih ramai orang yang berhati jujur mendapat manfaat daripada mesej Bible.—Wahyu 22:17.