Lompat ke kandungan

Saudara Amaro Teixeira mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Ndau

2 MAC 2021
MOZAMBIQUE

Saksi-Saksi Yehuwa Mencapai Rekod Terjemahan Bersejarah dengan Pengeluaran Bible Baharu di Mozambique

Terjemahan Dunia Baharu Kini Didapati dalam 200 Bahasa

Saksi-Saksi Yehuwa Mencapai Rekod Terjemahan Bersejarah dengan Pengeluaran Bible Baharu di Mozambique

Pada 28 Februari 2021, Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dalam bahasa Ndau. Dengan pengeluaran tersebut, Terjemahan Dunia Baharu setakat ini didapati sama ada keseluruhan atau sebahagian dalam 200 bahasa. Selain itu, pada 27 Februari, sehari sebelum peristiwa itu, Bible—Berita Baik Menurut Matius telah dikeluarkan dalam bahasa Chuabo.

Dalam sebuah rakaman program yang disiarkan kepada para penyiar, Saudara Amaro Teixeira, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Mozambique, telah mengumumkan pengeluaran kedua-dua terjemahan itu dalam bentuk digital. Tambahan pula, program tersebut disiarkan di stesen TV nasional dan pelbagai stesen radio tempatan. Pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Chuabo, juga boleh didapati dalam bentuk cetakan brosur 64 muka surat, supaya mereka yang tidak memiliki alat elektronik masih dapat manfaat daripada pengeluaran tersebut.

Bahasa Chuabo dituturkan oleh 1.4 juta orang di Wilayah Zambezia. Sejumlah 492 penyiar berkhidmat dalam kawasan penyebaran bahasa Chuabo.

Saudara Nicholas Ahladis, yang bekerja dalam Khidmat Penterjemahan di ibu pejabat sedunia, berkata, “Terjemahan Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Chuabo merupakan pencapaian yang penting. Terjemahan yang sebelumnya sukar didapati dan susah difahami.”

Sekitar 1.1 juta orang, termasuk 1,500 penyiar di bahagian tengah Mozambique bercakap dalam bahasa Ndau.

Semasa projek terjemahan Bible bahasa Ndau, terdapat tiga bencana besar yang berlaku. Pada 2019, Siklon Idai membadai Mozambique. Tahun seterusnya, seperti yang berlaku di seluruh dunia, Mozambique juga perlu menghadapi kesan pandemik COVID-19. Kemudian, pada awal 2021, Siklon Eloise mengakibatkan banyak kerosakan di negara itu. Biarpun menghadapi pelbagai cabaran, lima ahli dalam kumpulan terjemahan itu menyelesaikan tugasan mereka dalam masa dua tahun setengah.

Seorang ahli kumpulan terjemahan bahasa Ndau menjelaskan, “Apabila saya ingat kembali apa yang kami dapat lakukan walaupun menghadapi pelbagai cabaran, saya masih tidak sangka hal itu dapat dicapai. Bagi saya, itu suatu mukjizat. Pencapaian itu di luar keupayaan dan jangkauan kami. Segala pujian patut diberikan kepada Yehuwa.”

Saudara Ahladis menyambung, “Selama ini, saudara saudari kita yang berbahasa Ndau, termasuk para penterjemah, telah mengharungi banyak kesusahan yang melambatkan projek terjemahan Bible. Tapi, kini mereka dikurniai dengan terjemahan Kitab Yunani Kristian yang mudah difahami. Terjemahan tersebut juga akan membantu orang yang berbahasa Ndau untuk mendapat galakan serta kelegaan hati.”

Saudara Geoffrey Jackson, seorang ahli Badan Pimpinan, berkata, “Semua penterjemah Bible membuat pengorbanan dan tabah menghadapi cabaran. Selepas kumpulan penterjemah Ndau mengharungi semua cabaran itu, termasuk bencana alam, nampaknya sesuai bagi Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Ndau menjadi bahasa yang ke-200 bagi Terjemahan Dunia Baharu. Kita pasti bahawa Bible ini akan membawa banyak manfaat kepada ramai orang yang menuturkan bahasa Ndau di Mozambique.”

Kita bersukacita bersama saudara saudari kita dengan pengeluaran dua Bible tersebut semasa menghadapi pandemik yang berterusan ini. Jelaslah, tidak ada apa-apa yang dapat menghalang Yehuwa daripada melaksanakan tujuan-Nya.—Yesaya 43:13.