Lompat ke kandungan

Kiri: Ratusan saudara saudari berkumpul pada 8 Mac 1947 di Dewan Bandar Wellington untuk perhimpunan istimewa. Kanan: Di luar pejabat Bethel di 69 Kent Terrace, Wellington, New Zealand

7 MAC 2022
NEW ZEALAND

“Memperoleh Hak yang Sah” untuk Sebarkan Berita Baik di New Zealand selama 75 Tahun

“Memperoleh Hak yang Sah” untuk Sebarkan Berita Baik di New Zealand selama 75 Tahun

Mac 2022 ialah ulang tahun ke-75 Saksi-Saksi Yehuwa terima pengiktirafan yang sah di New Zealand. Pada 7 Mac 1947, Saudara Nathan H. Knorr, Milton Henschel, dan Charles Clayton, mubaligh pertama yang terima latihan Gilead di New Zealand, telah mengunjungi Parlimen New Zealand. Para pegawai kerajaan serahkan dokumen yang mengiktiraf Saksi-Saksi Yehuwa secara sah di sisi undang-undang. Kini, terdapat sekitar 14,500 penyiar di negara itu yang terus menginjil dengan bersemangat.

Berita baik Kerajaan Tuhan mula disebarkan di New Zealand pada 1898. Jumlah penyiar bertambah pada kadar yang tetap. Gereja Katolik marah kerana bahan bacaan kita mengajarkan kebenaran Bible. Jadi, mereka mengapi-apikan kebencian terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Pada 24 Oktober 1940, kerajaan mengharamkan aktiviti kita. Tetapi Parlimen mengubah skop pengharaman itu pada 8 Mei 1941. Maksudnya, saudara saudari dapat berkumpul untuk sembah Tuhan dan menginjil. Namun, mereka hanya boleh guna Bible, tanpa bahan bacaan kita. Pengharaman itu dibatalkan secara sah pada 29 Mac 1945. Setelah itu, jumlah penyiar mula bertambah sekali lagi. Hanya dalam masa dua tahun, penyiar Kerajaan Tuhan meningkat sebanyak 40 peratus. Ini ialah angka tertinggi baharu, iaitu seramai 659 saudara saudari yang sebarkan berita baik.

Dari kiri ke kanan: Saudara Charles Clayton, Milton Henschel, dan Nathan H. Knorr, di luar Parlimen selepas terima dokumen yang mengiktiraf Saksi-Saksi Yehuwa secara sah pada 1947

Saudara Knorr memutus untuk mengunjungi New Zealand sebagai sebahagian daripada lawatan sedunia pada 1947. Semasa lawatan inilah dia mengunjungi Parlimen.

Setelah Saksi-Saksi Yehuwa diiktiraf secara sah, sebuah pejabat cawangan ditubuhkan di Wellington untuk mengatur kerja penyebaran dengan lebih baik. Saudara Robert Lazenby dilantik sebagai pembantu cawangan yang pertama.

Berkenaan pejabat cawangan baharu dan peningkatan jumlah penyiar, Saudara Knorr kemudian menulis satu laporan tentang New Zealand. Dia menyatakan, “Semua orang sudi melakukan kerja untuk sokong pejabat cawangan ini dan mengikut bimbingannya.”

Pada 8-9 Mac 1947, Saudara Knorr dan Henschel berucap semasa perhimpunan istimewa di Dewan Bandar Wellington (sesi petang diadakan di kolej teknikal yang berdekatan). Hampir 500 saudara saudari telah hadir.

Saudari Beryl Todd, yang berumur 17 tahun pada masa itu, mengenang kembali, “Itulah perhimpunan terbesar yang pernah saya hadir. Betapa terujanya kami kerana Saudara Knorr ada di situ.” Pada hari itu, Clyde Canty dibaptis di kolam renang awam yang berhampiran. Dia kemudiannya berkhidmat sebagai koordinator cawangan New Zealand.

Pada 10 Mac 1947, 300 orang berkumpul di Auckland untuk dengar ceramah Saudara Knorr, Henschel, dan Lazenby. Saudara Knorr melaporkan bahawa dia dapat lihat potensi pertumbuhan di New Zealand. Dia kata, “Saya pasti kerja penyebaran akan meningkat di sini. Potensi di kawasan ini baik sekali.”

Kata-kata Saudara Knorr terbukti benar. Jumlah penyiar di New Zealand meningkat dengan mendadak selama lapan tahun yang berikutnya. Pada 1955, sudah ada 2,519 penyiar. Pada 1989, terdapat 10,000 penyiar di situ.

Kita berterima kasih kepada Yehuwa kerana membantu saudara saudari memperoleh hak yang sah untuk sebarkan berita baik di New Zealand.—Filipi 1:7.