Lompat ke kandungan

Saudara saudari di Nigeria bersukacita atas pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Edo (kiri) dan Esan (kanan)

28 DISEMBER 2023
NIGERIA

Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Edo dan Esan

Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Edo dan Esan

Untuk dua hujung minggu berturut-turut, ahli-ahli Jawatankuasa Cawangan Nigeria telah mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Edo dan Esan. Pengumuman ini dibuat semasa Konvensyen Serantau 2023 “Teruslah Bersabar!” yang diadakan di Benin City dan Agbor, Nigeria. Pada 8 Disember 2023, Saudara Archibong Ebiti mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Edo. Kemudian pada 15 Disember 2023, Saudara Malcolm Halls telah mengumumkan pengeluaran baharu itu bagi bahasa Esan. Edisi bercetak telah diedarkan kepada para hadirin di kedua-dua konvensyen tersebut. Kitab Yunani Kristian turut disediakan dalam format digital dan audio.

Bahasa Edo

Terdapat 1,678 orang yang menghadiri pengeluaran Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Edo. Dianggarkan terdapat kira-kira dua juta penutur bahasa Edo di seluruh dunia. Lebih daripada 900 saudara saudari berkhidmat di 23 sidang bahasa Edo di Nigeria. Pada tahun 2014, kumpulan penterjemahan bahasa Edo mula berkhidmat sepenuh masa. Pada tahun itu juga, bahan terbitan bahasa Edo telah disediakan dalam laman web jw.org.

Walaupun terdapat terjemahan Bible bahasa Edo yang lain, Bible-Bible itu susah diperoleh dan mahal. Bahasa yang digunakan juga lapuk dan kebanyakannya tidak mengandungi nama Yehuwa. Akibatnya, pembaca bahasa Edo rasa susah untuk memahami mesej Bible. Saudari Patience Izevbuwa, yang berumur 74 tahun dan telah menyembah Yehuwa lebih daripada 50 tahun kata, “Tiada kata-kata yang dapat ungkapkan sukacita saya semasa menerima Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Edo!”

Bahasa Esan

Terdapat lebih daripada 692 orang yang menghadiri pengeluaran Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Esan. Dianggarkan terdapat lebih daripada satu juta penutur bahasa Esan di Nigeria. Kini, terdapat 640 saudara saudari yang berkhidmat di 10 sidang bahasa Esan.

Terjemahan Kitab Yunani Kristian ini ialah terjemahan pertama yang diterbitkan dalam bahasa Esan. Sebelum pengeluaran ini, ramai penyiar yang menuturkan bahasa Esan menggunakan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Inggeris. Mengenai ayat 2 Korintus 4:7, seorang saudari kata, “Dulu, semasa baca ayat ini dalam bahasa Inggeris, saya tidak begitu faham apa maksudnya. Namun, Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Esan menyatakan, ‘Walaupun kami seperti bekas tanah liat, Tuhan memberi kami tugas suci yang bagaikan harta karun.’ Saya lebih memahami maksud ayat ini dan hal ini menyentuh hati saya. Hadiah ini sungguh istimewa!”

Kita turut bersukacita bersama saudara saudari kita atas pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam kedua-dua bahasa ini. Kita juga berdoa agar lebih banyak orang “memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.”—1 Timotius 2:3, 4.