Lompat ke kandungan

Sekumpulan Saksi-Saksi Yehuwa dengan bahan bacaan dan peti nyanyi pada awal 1930-an

13 DISEMBER 2021
NIGERIA

Saksi-Saksi Yehuwa Memperingati 100 Tahun Menginjil di Nigeria

1921-2021: Daripada Permulaan Kecil kepada Lebih daripada 400,000 Penyiar

Saksi-Saksi Yehuwa Memperingati 100 Tahun Menginjil di Nigeria

Saksi-Saksi Yehuwa di Nigeria baru-baru ini mengadakan dua acara istimewa untuk memperingati 100 tahun kerja pendidikan Bible di sana. Pada 12 Disember 2021, semua sidang Saksi-Saksi Yehuwa di Nigeria dijemput untuk menonton sebuah program khas yang dirakam. Program itu mengandungi ceramah dan temu ramah tentang sejarah kerja menginjil di Nigeria, dan disiarkan dalam Bahasa Isyarat Nigeria, Efik, Igbo, Inggeris, Pidgin (Afrika Barat), dan Yoruba. Sebelum itu, iaitu pada 10 Disember 2021, sebuah pameran muzium istimewa dibuka di pejabat cawangan mereka. Buat masa ini, pameran itu hanya terbuka kepada mereka yang berkhidmat di pejabat cawangan Nigeria, tetapi akan dibuka kepada semua orang pada masa depan.

Saudara William “Bible” Brown (kiri) bersama beberapa orang saudara saudari tempatan dan mubaligh di depan pejabat cawangan pada tahun 1948

Pameran itu bertema, “Keberanian selama 100 tahun,” dan menunjukkan kisah menarik saudara saudari yang mempunyai iman yang teguh dan menginjil dengan berani. Pameran itu menunjukkan bagaimana para Saksi di Nigeria tidak gentar biarpun dihina oleh orang ramai, mengalami perang saudara yang teruk, dan bahan bacaan mereka dilarang. Sejarah menjadi hidup dengan adanya bahan audio dan video yang interaktif serta bahan artifak yang bersejarah. Para pelawat dapat menonton perkembangan kerja penyebaran di Nigeria, dari Disember 1921, iaitu semasa hanya ada beberapa orang menghadiri kelas pembelajaran Bible di Lagos, kepada zaman sekarang, yang mempunyai lebih daripada 400,000 orang penyiar.

Keberanian para Saksi di Nigeria dan di seluas dunia pasti diteguhkan apabila melihat kesetiaan saudara saudari kita di Nigeria selama 100 tahun yang lalu.—Yohanes 16:33.