11 JANUARI 2023
NORWAY
Mahkamah Norway Meluluskan Permohonan untuk Menangguhkan Pembatalan Pendaftaran Saksi-Saksi Yehuwa
Pada 30 Disember 2022, Mahkamah Daerah Oslo telah meluluskan permohonan untuk menangguhkan pembatalan pendaftaran Saksi-Saksi Yehuwa sebagai organisasi agama di Norway. Tindakan ini diambil ekoran keputusan Gabenor Daerah Oslo dan Viken untuk membatalkan pendaftaran organisasi kita. Kelulusan yang diberikan oleh Mahkamah Daerah Oslo akan mengizinkan organisasi kita untuk terus berfungsi sehingga kes ini diselesaikan di mahkamah. Namun, Kementerian Kanak-Kanak dan Keluarga tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Kelulusan yang diberikan oleh mahkamah telah membawa manfaat kepada saudara saudari kita, termasuk mereka yang bakal berkahwin. Di Norway, hanya anggota organisasi agama yang berdaftar dapat dilantik sebagai pendaftar perkahwinan. Maka, apabila kerajaan ingin membatalkan pendaftaran Saksi-Saksi Yehuwa, hal ini juga bermaksud bahawa para Saksi tidak lagi layak untuk dilantik sebagai pendaftar perkahwinan. Tetapi memandangkan pendaftaran organisasi kita di Norway masih berkuat kuasa, seorang Saksi dapat mengendalikan dan mendaftarkan perkahwinan saudara saudari di Dewan Perjumpaan.
Salah satu pasangan yang bakal berkahwin ialah Saudara André Bjørnstad dan Saudari Yasmin de Andrade Montelo. Pernyataan mereka telah disertakan dalam permohonan kepada mahkamah pada 28 Disember 2022. Saudara Bjørnstad menjelaskan bahawa dia dan tunangnya berhasrat untuk mengesahkan perkahwinan mereka di hadapan seorang pendaftar Saksi-Saksi Yehuwa. Walaupun bukan semua orang memahami pendirian mereka, hal ini amat penting bagi mereka berdua. Saudara Bjørnstad kata, “Agama dan kepercayaan seseorang mesti dititikberatkan. Ini sebahagian daripada diri kita. Jika orang lain tidak menghormatinya, kita mungkin hilang identiti diri.”
Sebelum keputusan dibuat untuk membatalkan pendaftaran Saksi-Saksi Yehuwa, kerajaan Norway telah menarik balik bantuan kewangan yang telah diberikan sejak lebih daripada 30 tahun yang lalu. Bantuan sebegini dihulurkan kepada lebih daripada 700 organisasi agama yang berdaftar di Norway. Pada 21 Disember 2022, Saksi-Saksi Yehuwa telah membuat tuntutan mahkamah untuk mengubah perintah kerajaan tersebut.
Kerajaan Norway mengambil tindakan sedemikian kerana mereka tidak bersetuju dengan kepercayaan Saksi yang berasaskan Bible mengenai aturan penyingkiran. Gabenor Daerah Oslo dan Viken bahkan mendesak Saksi-Saksi Yehuwa untuk mengubah aturan penyingkiran agar pendaftaran mereka tidak dibatalkan. Sebenarnya, tindakan yang diambil terhadap Saksi-Saksi Yehuwa tidak disokong oleh keterangan pakar mahupun keputusan rasmi daripada mahkamah.
Menurut gabenor tersebut, tindakan untuk membatalkan pendaftaran Saksi tidak bercanggahan dengan hak kebebasan beragama. Tetapi, seperti kes lain yang melibatkan situasi yang sama, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah telah mengeluarkan perintah bahawa tindakan sedemikian mencabuli hak kebebasan beragama Saksi-Saksi Yehuwa. a
Saudara Jørgen Pedersen, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Skandinavia berkata, “Selama lebih daripada 130 tahun, Saksi-Saksi Yehuwa di Norway telah menjalankan ibadat mereka dengan damai. Hak asasi dan kebebasan kami terjamin di bawah Perlembagaan Norway dan Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah. Jika mahkamah Norway memberi kemenangan kepada kami, ini ialah bukti bahawa hak dan kebebasan rakyat Norway akan terus dilindungi.”