18 OGOS 2023
PERANCIS
Kesaksian Awam sempena Pesta Armada di Rouen, Perancis
Setiap empat tahun, pesta Armada akan diadakan di Perancis. Kapal layar yang besar dari serata dunia akan berlabuh di pelabuhan Rouen untuk pesta antarabangsa ini. Pada tahun ini, pesta Armada telah diadakan dari 8-18 Jun. Kira-kira enam juta pengunjung telah datang dari pelbagai negara. Setiap hari, Saksi-Saksi Yehuwa telah mendirikan rak bahan bacaan di 12 lokasi di seluruh bandar Rouen. Lebih daripada 600 Saksi telah menyertai kempen ini dan mereka berpeluang bercakap dengan ratusan orang.
Seorang jurugambar yang sudah bersara telah menghampiri rak bahan bacaan dan bercakap dengan saudara saudari di sana. Dia memuji sikap mesra dan kebaikan hati yang ditunjukkan oleh para Saksi. Setelah berbual seketika, mereka menyentuh topik tentang sikap orang yang makin mendingin pada hari ini. Para Saksi menunjukkan 2 Timotius 3:1-5, membincangkan ayat itu, dan memberinya brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Lelaki itu juga memberikan maklumat perhubungannya dan mengatakan bahawa dia menantikan kunjungan para Saksi.
Seorang wanita muda juga telah mengadakan perbualan yang menarik dengan para Saksi. Dia bertanya kepada para Saksi di rak bahan bacaan, “Jika Yesus telah mati dan dibangkitkan, mengapakah orang kesayangan kita yang sudah meninggal belum lagi dibangkitkan? Datuk dan nenek saya sudah meninggal, dan saya mahu jumpa mereka semula.” Saudari kita telah memainkan video Bantuan untuk Mereka yang Kehilangan Orang Tersayang. Wanita itu kemudiannya telah menerima senaskhah brosur dan tawaran untuk mempelajari Bible.
Kita amat gembira mendengar usaha saudara saudari di Perancis yang merelakan diri untuk mengkhabarkan berita baik kepada orang lain.—1 Korintus 9:23.