6 OGOS 2019
PERANCIS
Pejabat Cawangan Perancis Membuka Muzium Bible Baharu
Pada 25 Julai 2019, sebuah muzium Bible baharu mula dibuka di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Perancis, yang terletak di kota Louviers, kira-kira 100 kilometer dari Paris. Tema muzium itu ialah “Nama Tuhan dan Bible dalam Bahasa Perancis.”
Muzium itu mempunyai banyak Bible dalam bahasa Perancis yang jarang ditemui dan yang sangat berharga. Salah satu Bible yang paling menarik ialah salinan asal Bible Olivétan. Bible ini juga dikenali sebagai “La Bible de Serrières” dan dihasilkan pada tahun 1535. Bible ini ialah Bible pertama yang lengkap dalam bahasa Perancis yang diterjemahkan oleh orang Protestan. Bible ini juga merupakan Bible bahasa Perancis pertama yang diterjemahkan daripada bahasa asal. Terjemahan ini mempengaruhi terjemahan Bible lain, termasuk Bible Matthew keluaran tahun 1537 dalam bahasa Inggeris, Bible Geneva dalam bahasa Inggeris, dan Bible Geneva dalam bahasa Perancis. Bible kuno lain yang dipamerkan termasuklah edisi ketiga Bible Jacques Lefèvre d’Étaples keluaran tahun 1541 dalam bahasa Perancis, Latin Pentateuch keluaran tahun 1541 dan Bible Latin keluaran tahun 1545 yang dicetak oleh Robert Estienne di Paris, dan Bible Perancis keluaran tahun 1557 yang dicetak oleh Jean de Tournes di Lyon.
Bible Olivétan, Latin Pentateuch, dan Bible Latin yang dicetak oleh Estienne, dan Bible yang dicetak oleh Jean de Tournes mengandungi nama Tuhan Yehuwa. Pada mulanya, kesemua Bible ini disumbangkan kepada Bahagian Muzium di Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York. Kini, kesemua Bible ini menjadi sebahagian daripada koleksi Bible yang ada di pejabat cawangan Perancis.
Enrique Ford dari Bahagian Muzium berkata, “Muzium Bible di pejabat cawangan Perancis mengisahkan sejarah yang istimewa tentang Bible dalam bahasa Perancis. Muzium tersebut juga membuktikan bahawa nama Tuhan Yehuwa memang wujud dalam Bible. Kami akan terus mencari Bible yang menarik dan yang jarang ditemui untuk mempamerkannya di muzium kami di serata dunia.”