Lompat ke kandungan

Pejabat cawangan di Normandy, Perancis

30 MEI 2023
PERANCIS

Tahun ke-50 Bethel Perancis Ditubuhkan di Normandy

Tahun ke-50 Bethel Perancis Ditubuhkan di Normandy

Januari 2023 merupakan tahun ke-50 sejak pejabat cawangan Perancis di Normandy mula berfungsi. Enam bulan selepas bangunan itu mula digunakan, program pentahbisan telah diadakan pada 9 Jun 1973.

Sebelum itu, Bethel Perancis terletak di Boulogne-Billancourt, sebuah bandar berdekatan Paris. Seraya masa berlalu, jumlah penyiar di negara itu semakin meningkat. Maka, tempat yang lebih besar diperlukan untuk mengatur kerja di sana. Selain itu, bahan bacaan yang dicetak di Amerika Syarikat akan dihantar ke pelabuhan di Le Havre, sebuah bandar yang terletak kira-kira 200 kilometer dari pejabat cawangan. Perjalanan ke sana memakan banyak masa dan perbelanjaan. Oleh itu, para saudara mula mencari tempat yang terletak antara Boulogne-Billancourt dengan Le Havre, supaya dapat membina bangunan tambahan untuk kegunaan Bethel di sana.

Akhirnya, mereka menjumpai sebidang tanah di Normandy, Louviers. Tempat ini terletak kira-kira 100 kilometer dari Paris dan Le Havre. Selepas membelinya, kerja pembinaan telah bermula pada 1972 dan disiapkan lapan bulan kemudian.

Pada tahun-tahun berikutnya, jumlah penyiar semakin meningkat. Oleh sebab itu, Bethel di Normandy juga perlu diluaskan. Sebidang tanah yang berdekatan telah dibeli dan bangunan kediaman telah dibina di sana. Pada 1996, semua ahli Bethel di Boulogne-Billancourt telah berpindah ke Normandy.

Risalah Apakah Pandangan Anda terhadap Bible? dalam 20 bahasa. Kerja penterjemahan dalam 24 bahasa dilakukan di cawangan Perancis sekarang

Kini, terdapat lebih daripada 162,000 penyiar yang menginjil di 13 negara di bawah penyeliaan cawangan Perancis. Pada tahun 1998, kerja percetakan tidak lagi dilakukan di Normandy. Maka, pengubahsuaian telah dibuat supaya kemudahan itu dapat digunakan untuk menyokong kerja penyebaran organisasi kita. Antaranya termasuk kerja penterjemahan bahan terbitan Bible ke dalam 24 bahasa dan kerja penghasilan video. Setakat ini, terdapat lebih daripada 400 saudara saudari yang berkhidmat di Bethel.

Kita bersukacita melihat Yehuwa mempercepat dan memajukan kerja penyebaran di Perancis!—Yesaya 60:22.