17 OKTOBER 2019
PERU
Kempen Istimewa untuk Menginjil kepada Orang yang Menuturkan Bahasa Aymara di Puno, Peru
Dari 1 Mei hingga 31 Ogos 2019, pejabat cawangan Peru mengaturkan satu kempen penyebaran istimewa untuk mengongsi mesej Bible kepada orang Peru yang bertutur dalam bahasa Aymara, salah satu bahasa peribumi. Kempen itu mendapat sambutan yang hangat. Sebanyak 7,893 bahan bacaan telah diedarkan dan video terbitan Saksi-Saksi Yehuwa telah ditayangkan sekitar 2,500 kali. Pada akhir kempen itu, para Saksi telah memulakan 381 pembelajaran Bible.
Di Peru, kira-kira 450,000 orang menggunakan bahasa Aymara, dan sekitar 300,000 orang daripada mereka tinggal di kawasan Puno. Setakat ini, sebanyak 331 orang penyiar yang menuturkan bahasa Aymara di tujuh buah sidang dan lapan kumpulan. Memandangkan kawasan penyebaran bahasa Aymara sangat luas berbanding dengan jumlah penyiar di Peru, penyiar yang berbahasa Aymara dari Chile turut menyertai kempen itu. Untuk mencapai penduduk yang berbahasa Aymara, ada kalanya saudara saudari perlu pergi ke kawasan tanah tinggi (kira-kira 5,000 meter dari paras laut) yang sangat sejuk (0ºC).
Sekumpulan saudara saudari membuat perjalanan selama beberapa jam untuk pergi ke suatu tempat. Di sana, ramai orang dari pekan berhampiran sedang menghadiri upacara pengebumian. Saudara saudari berpeluang untuk mengongsi harapan pembangkitan dengan mereka. Ahli keluarga yang berkabung dan pihak berkuasa tempatan mengucapkan terima kasih kepada saudara saudari yang datang dari jauh untuk mengongsi mesej Bible yang melegakan hati.
Di tempat yang lain pula, saudara saudari menemui sekumpulan orang yang berkumpul sebanyak dua kali seminggu untuk belajar Bible. Para penyiar mendapati bahawa mereka menggunakan buku “Tokoh Terbesar” (The Greatest Man Who Ever Lived) dan Buku Cerita Bible Saya. Nampaknya mereka mendapat buku itu daripada saudara-mara mereka yang tinggal di Bolivia. Apabila kumpulan itu mengetahui bahawa buku-buku itu diterbitkan oleh organisasi kita, kebanyakan daripada mereka mula mempelajari Bible dengan saudara saudari dan menghadiri perjumpaan.
Saudara Albert Condor, seorang penatua yang mengambil pimpinan untuk salah sebuah kumpulan penyebaran, berkata, “Saya dan isteri sangat gembira kerana dapat mengambil bahagian dalam kempen ini. Pengalaman ini menguatkan iman kami terhadap Yehuwa. Semasa kami memulakan perjalanan, kami tidak pasti bagaimana kami akan sampai ke tempat itu kerana perjalanannya agak susah. Setelah tiba di situ, kami berdoa agar Yehuwa membantu kami mencari tempat tinggal. Saya telah melihat bahawa Yehuwa memang menjawab semua doa kami. Selain itu, iman yang ditunjukkan oleh saudara saudari telah menguatkan saya.”
Saudara saudari bersukacita untuk mengongsi kebenaran Firman Tuhan yang bagaikan air kehidupan dengan orang yang menggunakan bahasa Aymara di Puno, Peru.—Wahyu 22:17.