Lompat ke kandungan

Mubaligh pertama di Peru. Belakang (kiri ke kanan): Evelyn Berry, Verda Pool, Walter Akin, Nellena Pool, dan Hazel Trim

Depan (kiri ke kanan): Gwendolyn Patterson, Robert Patterson, dan Christine Akin

2 DISEMBER 2021
PERU

Peru ‘Mekar seperti Bunga Mawar’ selama 75 Tahun

Peru ‘Mekar seperti Bunga Mawar’ selama 75 Tahun

Mubaligh pertama sampai di Peru pada Oktober 1946. Mereka perlu menginjil di kawasan yang sangat luas. Penduduk di Peru pada masa itu ialah sekitar tujuh juta orang, di kawasan yang meliputi hampir 1.3 juta kilometer persegi. Selama 75 tahun, para mubaligh berganding bahu dengan penyiar tempatan untuk menginjil dari kawasan pergunungan ke persisiran pantai dan mereka meraih hasil yang baik.

Sebelum kedatangan para mubaligh, dari masa ke masa Saksi-Saksi Yehuwa dari Amerika Selatan akan menginjil di ibu kota Peru, iaitu Lima. Mereka mengedarkan bahan bacaan kepada orang yang berminat dan usaha mereka membuahkan hasil baik. Pada tahun 1945, dua mubaligh yang berkhidmat di Chile mengadakan perjalanan ke Lima untuk membaptis tiga orang Saksi-Saksi Yehuwa yang pertama di negara itu.

Sejak Oktober 1946, mubaligh lulusan Gilead diutus untuk mengaturkan kerja penyebaran di Peru. Perjumpaan pertama diadakan di daerah Rimac, Lima. Apabila bilangan penyiar tempatan bertambah, bilangan mubaligh yang dihantar juga bertambah, dan kerja penyebaran diluaskan ke kawasan lain di Peru. Kerja menginjil terus berkembang maju sehingga hari ini.

Saudari Nellena Pool

Saudari Nellena Pool, iaitu mubaligh pertama yang sampai di Peru pada tahun 1946, bercakap tentang perkembangan kerja penyebaran dalam kisah hidupnya yang diterbitkan dalam majalah Menara Pengawal 1 Mac 1957. Dia berkata, “Kata-kata tidak dapat mengungkapkan perasaan saya. Saya melihat dengan mata sendiri bagaimana gurun mula ‘mekar seperti bunga mawar.’”

Saudari Irene Mannings, lulusan Gilead kelas yang ke-54 masih berkhidmat di Peru. Dia berkata, “Semenjak kami datang sini, kami dapat lihat bagaimana angka penyiar meningkat daripada 7,000 orang kepada lebih daripada 130,000 orang. Saya rasa sangat gembira kerana diberi penghormatan untuk menyumbang kepada perkembangan ini. Hasil baik ini hanya dapat diraih dengan adanya berkat Yehuwa.”

Kini terdapat 133,170 penyiar yang sedang berkhidmat di Peru. Mereka bersyukur atas asas rohani yang telah dibina 75 tahun yang dahulu. Sejarah rohani Peru ialah bukti tambahan bahawa janji Yehuwa di Yesaya 60:22 sedang ditunaikan. Ayat itu kata, “Bangsa yang sedikit bilangannya akan bertambah banyak sehingga menjadi seribu, dan bangsa yang kecil akan menjadi bangsa yang kuat.”