Lompat ke kandungan

Atas permintaan hospital di Słupca, Bible dan bahan bacaan Bible dihantar ke sana

22 MAC 2021
POLAND

Hospital di Poland Merakamkan Penghargaan kepada Saksi-Saksi Yehuwa

Hospital di Poland Merakamkan Penghargaan kepada Saksi-Saksi Yehuwa

Sebuah hospital di Słupca, Poland, telah meminta saudara saudari kita di Warsaw untuk menghantar Bible kepada mereka. Selepas permintaan itu ditunaikan, kakitangan hospital menulis sepucuk surat untuk merakamkan penghargaan mereka.

Saudari Helena Krupa

Hospital tersebut merawat ramai pesakit COVID-19. Seorang wakil pengurusan hospital ingin beri sesuatu untuk menggalakkan semua pekerja dan pesakit. Kemudian dia teringat bahawa isteri kawannya ialah seorang Saksi Yehuwa dan sangat bersemangat tentang Bible. Dia pun menghubungi wanita itu, yang bernama Helena Krupa, dan meminta bantuannya untuk mendapatkan Bible bagi hospital.

Saudari Helena Krupa, yang tinggal di Warsaw, memberitahu para penatua di sidangnya tentang permintaan wakil hospital itu. Mereka pun sediakan satu bungkusan untuk dihantar ke hospital. Bungkusan itu mengandungi enam Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dan pelbagai bahan bacaan Bible. Mereka juga menulis surat untuk menjelaskan ciri-ciri istimewa Terjemahan Dunia Baharu, terutamanya tentang nama Tuhan, iaitu Yehuwa, yang telah dikembalikan ke dalam teks Bible.

Selepas itu, bahagian pengurusan hospital menulis surat penghargaan kepada sidang. Dalam surat itu, mereka mengucapkan “ribuan terima kasih atas bantuan, komitmen, dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh saudara saudari.” Tambahan lagi, surat itu menyatakan, “Pada waktu yang susah ini, semua orang sedang khuatir tentang hidup, kesihatan, keluarga, orang tersayang, dan pekerjaan. Tetapi kamu dengan tabah masih memikirkan orang lain . . . Kamu mengambil berat tentang masalah yang kami hadapi. Ini telah menguatkan kami untuk tetap berjuang melawan pandemik. Kami juga digalakkan untuk terus menangani cabaran dalam tugas seharian dengan berjaya.”

Penghargaan yang diungkapkan dalam surat tersebut membuktikan bagaimana kita dapat memberikan kelegaan dan harapan kepada orang lain melalui bahan rohani yang disediakan oleh Yehuwa.—Roma 15:4.