Lompat ke kandungan

Saudara Sanderson bercakap kepada para pekerja sukarela dan pelarian di Poland

18 MEI 2022
POLAND

Lawatan Istimewa di Poland kepada Pekerja Sukarela dan Pelarian dari Ukraine

Lawatan Istimewa di Poland kepada Pekerja Sukarela dan Pelarian dari Ukraine

Sejak hari Ahad, 1 Mei 2022, Saudara Mark Sanderson, seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, dan tiga orang ahli Jawatankuasa Cawangan, telah melawat saudara saudari yang melarikan diri dari Ukraine ke Poland. Sepanjang perjalanannya, Saudara Sanderson dan saudara-saudara yang menemaninya dapat mendengar kisah para pelarian dan meyakinkan mereka bahawa Badan Pimpinan mengasihi dan menyokong mereka.

Kiri ke kanan: Tomasz Wolczko (ahli Jawatankuasa Cawangan Poland), Mark Sanderson, Vesa Väänänen (ahli Jawatankuasa Cawangan Poland), dan Tommi Kauko (ahli Jawatankuasa Cawangan Finland)

Membincangkan kerja membantu pelarian semasa berada berhampiran sempadan

Dalam masa enam hari, mereka membuat perjalanan lebih daripada 2,500 kilometer untuk melawat pelarian di beberapa lokasi, termasuk empat Dewan Perhimpunan dan beberapa Dewan Perjumpaan. Mereka juga berjumpa dengan para pekerja sukarela di sempadan Poland dan Ukraine.

Seorang saudara dari Ukraine berkata, “Lawatan itu sangat menggalakkan dan menyegarkan kami. Rasanya seperti meminum seteguk air sejuk.”

“Lawatan ini kejutan istimewa!” kata seorang saudari dari Ukraine. “Kami dapat lihat bagaimana Yehuwa jaga kami.”

Seorang lagi saudari dari Ukraine berkata, “Semasa kami tiba di Poland, kami tiada apa-apa pun. Tapi kerana Yehuwa, sekarang kami ada semua yang diperlukan.”

Sekumpulan pemandu dan pekerja sukarela di luar Dewan Perhimpunan di Stęszew, Poland

Semasa berjumpa dengan pekerja sukarela yang membantu para pelarian, Saudara Sanderson memberitahu mereka bahawa Badan Pimpinan mengasihi mereka. Dia memetik Ibrani 6:10 dan berkata bahawa Yehuwa ‘tidak melupakan kerja yang mereka lakukan,’ dan dia menambah, “Kami juga tidak lupa.” Para pekerja sukarela berkata bahawa mereka bersyukur kerana dapat membantu rakan seiman mereka.

Melawat saudari-saudari yang lanjut usia dari Ukraine di luar sebuah Dewan Perjumpaan di Radymno, Poland

Saudara Vesa Väänänen, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Poland, berkata, “Iman saya dikuatkan semasa melihat bagaimana semuanya dalam kawalan Yehuwa. Dia sediakan apa yang kami perlukan tepat pada masanya. Kami diberi arahan yang bijak daripada Badan Pimpinan, dan kami ada saudara saudari yang sudi membuat pengorbanan untuk membantu orang lain.”

Para pekerja sukarela di Dewan Perhimpunan di Stęszew, Poland. Di situ, bekalan bantuan kemanusiaan dibungkus

Apabila saudara saudari kita terus menjaga keperluan satu sama lain dalam pelbagai situasi, mereka merasai sukacita yang dijanjikan oleh Yesus.—Kisah 20:35.