Lompat ke kandungan

Lukisan salah satu bangunan pejabat baharu di Lubumbashi, Republik Demokratik Congo

21 JANUARI 2022
REPUBLIK DEMOKRATIK CONGO

Pembinaan Bangunan Bethel Baharu di Republik Demokratik Congo

Pembinaan Bangunan Bethel Baharu di Republik Demokratik Congo

Di Lubumbashi, Republik Demokratik Congo, pembinaan bangunan baharu yang akan menjadi pejabat cawangan utama sedang dijalankan. Kira-kira 260 ahli Bethel dijangka akan mula berpindah ke situ sekitar bulan Mei 2022, dan 131 ahli Bethel yang lain pula akan tetap berada di pejabat cawangan di Kinshasa. a Selain itu, pembinaan untuk tempat kediaman dan bangunan pejabat tambahan berdekatan pejabat cawangan Kinshasa telah bermula. Kira-kira 48 ahli Bethel akan menggunakan bangunan baharu itu selepas bulan Januari 2024. Kedua-dua pejabat cawangan ini pasti akan menyokong kemajuan aktiviti teokratik di Congo.

Pembinaan sedang berlangsung bagi salah satu daripada tiga bangunan pejabat baharu

Semasa tahun aktiviti penyebaran 2021, saudara saudari di Republik Demokratik Congo telah mengadakan lebih daripada 250,000 pembelajaran Bible. Lebih daripada satu juta orang telah menghadiri Peringatan kematian Kristus. Sekarang, terdapat 394 ahli Bethel yang sedang berkhidmat di pejabat cawangan Kinshasa.

Para saudara sedar bahawa adalah tidak sesuai untuk meluaskan pejabat cawangan di Kinshasa. Maka mereka mencari sebuah kawasan di bandar lain, dan telah menjumpai kawasan yang sesuai di Lubumbashi. Kawasan itu memang bagus untuk membina pejabat cawangan baharu dan meluaskannya pada masa depan.

Kiri: Tidak lama lagi, sebanyak 300 ahli Bethel akan berpindah ke kediaman baharu di Lubumbashi. Kanan: Lukisan menunjukkan projek yang akan diselesaikan

Pejabat cawangan di Lubumbashi terletak 2,300 kilometer dari Kinshasa. Luasnya ialah 12 hektar (30 ekar) dan mempunyai tempat tinggal, pejabat, gudang, dan sebuah pusat serba guna bagi tempat makan dan tempat rekreasi.

Pembinaan bermula pada November 2020, namun projek ini menghadapi banyak cabaran disebabkan pandemik COVID-19.

Saudara Robert Elongo, salah seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Congo (Kinshasa), menjelaskan: “Sempadan telah ditutup. Jadi sangat susah untuk menghantar bahan-bahan pembinaan, dan ini mempengaruhi fasa awal projek ini.”

Walaupun begitu, Saudara Elongo kata, “Hanya dalam masa satu tahun, 40 peratus bagi fasa awal projek ini telah diselesaikan.”

Jelaslah Yehuwa memberkati projek ini. Kita berdoa agar bangunan baharu ini akan menjadi kesaksian baik kepada orang lain dan membawa kemuliaan kepada nama Yehuwa.—Matius 24:47.

a Pejabat cawangan Republik Demokratik Congo (Kinshasa) menyelia aktiviti teokratik di Republik Demokratik Congo dan Republik Congo.