28 SEPTEMBER 2023
REPUBLIK DEMOKRATIK CONGO
Pengeluaran Bible yang Dikemaskinikan dalam Bahasa Lingala dan Buku-Buku Bible dalam Enam Bahasa
Pada Selasa, 29 Ogos 2023, Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan telah dikeluarkan dalam bahasa Lingala. Selain itu, beberapa buku Bible dalam Terjemahan Dunia Baharu dikeluarkan dalam bahasa Alur, Kinande, Kipende, Kisonge, Kituba, dan Uruund. Saudara Mark Sanderson, seorang ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran ini kepada hadirin sejumlah 75,715 orang semasa Konvensyen Serantau “Teruslah Bersabar!” Acara ini telah diadakan di Stadium Martyrs di Kinshasa, Republik Demokratik Congo. Seramai 219,457 orang lagi menonton program ini melalui siaran video di 53 Dewan Perhimpunan dan lokasi lain di kawasan cawangan. Salinan bercetak Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Lingala dan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Kisonge telah diedarkan. Salinan bercetak bagi terjemahan yang lain akan tersedia pada masa depan. Edisi digital semua terjemahan juga dapat dimuat turun dengan serta-merta semasa pengeluarannya. Berikut merupakan pengeluaran yang telah dibuat:
Bahasa Alur (Kitab Ibrani: Kejadian-Ayub, Kidung Agung)
Kira-kira 1,750,000 orang menuturkan bahasa Alur, terutamanya di Mahagi
1,609 penyiar berkhidmat di 45 sidang bahasa Alur
Saksi-Saksi Yehuwa mula menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa Alur pada 2013
Pejabat penterjemahan (RTO) bahasa Alur terletak di Bunia
Bahasa Kinande (Kitab Yunani Kristian)
Kira-kira 903,000 orang menuturkan bahasa Kinande di Ituri dan Kivu Utara
4,793 penyiar berkhidmat di 78 sidang bahasa Kinande
Saksi-Saksi Yehuwa mula menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa Kinande pada 1998
RTO bahasa Kinande terletak di Butembo
Bahasa Kipende (Kitab Ibrani: Kejadian, Keluaran, Imamat, Hakim-Hakim, Rut, Satu dan Dua Samuel, dan Kidung Agung)
Kira-kira sejuta orang menuturkan bahasa Kipende di wilayah Kasai, Kwango, dan Kwilo
3,349 penyiar berkhidmat di 88 sidang bahasa Kipende
Saksi-Saksi Yehuwa mula menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa Kipende pada 1996
RTO bahasa Kipende terletak di Kikwit
Bahasa Kisonge (Kitab Ibrani: Kejadian, Keluaran, dan Kidung Agung. Kitab Yunani Kristian juga dikeluarkan)
Kira-kira sejuta orang menuturkan bahasa Kisonge, terutamanya di wilayah Lomami
1,043 penyiar berkhidmat di 31 sidang bahasa Kisonge
Saksi-Saksi Yehuwa mula menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa Kisonge pada 2006
Pejabat penterjemahan bahasa Kisonge terletak di Kinshasa
Bahasa Kituba (Kitab Yunani Kristian: Matius, Markus, Roma, Satu dan Dua Korintus, Galatia, dan Filipi)
Bahasa Kituba dituturkan oleh lebih daripada 12 juta orang di kawasan selatan Republik Congo, Angola, dan Gabon
2,137 penyiar berkhidmat di 30 sidang bahasa Kituba
RTO bahasa Kituba ditubuhkan di Pointe-Noire pada 2019
Bahasa Lingala (Terjemahan Dunia Baharu yang Dikemaskinikan)
Lebih daripada 40 juta orang menuturkan bahasa Lingala
74,023 penyiar berkhidmat di 1,266 sidang bahasa Lingala
Saksi-Saksi Yehuwa mula menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa Lingala pada 1960-an
Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Lingala dikeluarkan pada 2009
RTO bahasa Lingala terletak di Kinshasa
Bahasa Uruund (Kitab Yunani Kristian: Matius, Markus, Roma, dan Satu Korintus)
Kira-kira 153,000 orang menuturkan bahasa Uruund, terutamanya di wilayah Lualaba
553 penyiar berkhidmat di 19 sidang bahasa Uruund
Saksi-Saksi Yehuwa mula menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa Uruund pada 1994
RTO bahasa Uruund terletak di Kolwezi
Semua pengeluaran yang baharu dan yang dikemaskinikan ini membawa banyak manfaat kepada saudara saudari yang berkhidmat di kawasan yang berbilang bahasa. Seorang penyiar berbahasa Kituba berkata, “Orang di kawasan penyebaran kami biasanya tidak mahu dengar mesej kami kerana kami guna bahan bacaan dalam bahasa lain. Contohnya, semasa kami baca ayat Bible dalam bahasa Perancis, mereka tidak memahaminya. Walaupun sesetengah orang tidak pandai membaca, mereka masih dapat mendengar ayat Bible daripada terjemahan ini dan meraih manfaatnya.” Mengenai manfaat Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Lingala, seorang penyiar kata, “Ayat-ayat yang jelas dan mudah difahami dalam Bible ini sangat berguna dalam kerja menginjil. Saya seolah-olah mengongsi harta yang bernilai kepada orang lain.”
Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus memberkati usaha saudara saudari kita untuk menggunakan pengeluaran baharu ini agar dapat mencapai hati orang yang “benar-benar mahu mendengar firman Tuhan.”—Kisah 13:7.