24 JUN 2020
REPUBLIK DEMOKRATIK CONGO
Rakan Seiman di Kawasan Cawangan Congo (Kinshasa) Menghadapi Pandemik, Banjir, dan Perang
Selain pandemik yang sedang menular, saudara saudari kita di kawasan Republik Demokratik Congo dan Republik Congo juga sedang mengalami banjir dan perang. Pejabat cawangan Congo (Kinshasa), yang menjaga kawasan-kawasan itu, telah mengaturkan bantuan fizikal dan rohani untuk saudara saudari kita. Sebanyak 57 buah Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) telah dibentuk untuk menjaga keperluan rakan seiman kita. Setakat ini, bantuan telah diberikan kepada lebih daripada 90,000 saudara saudari.
Pada 16 dan 17 April 2020, hujan lebat telah menyebabkan banjir di kawasan Republik Demokratik Congo. Seramai 139 penyiar terpaksa meninggalkan rumah mereka dan berpindah ke rumah rakan seiman. DRC sedang mencari tempat sementara atau rumah baharu bagi saudara saudari itu.
Rakan seiman kita juga menunjukkan kemurahan hati dengan menderma makanan untuk membantu usaha DRC. Di satu kawasan, para penyiar menderma 700 kilogram pisang, 400 kilogram jagung, dan 220 kilogram ubi dan daun ubi.
Selain itu, 60 penyiar dari Sidang Some 26 Km telah menyediakan tempat tinggal bagi 50 orang saudara saudari yang sedang melarikan diri akibat perang. Mereka sudi mengongsi makanan mereka sementara menunggu bantuan daripada DRC.
Seorang ketua keluarga di Brazzaville, iaitu ibu kota Republik Congo, mengatakan, “Hidup saya telah berubah dalam sekelip mata. Dulu, kami dapat menyara keluarga kerana saya ada kerja dan isteri saya bekerja secara sambilan. Tetapi, semasa COVID-19 melanda, kami hilang sumber kewangan. Walaupun begitu, iman kami tetap kuat. Semasa kami sedang berbincang tentang apa yang dapat kami lakukan apabila keperluan kami habis, Yehuwa telah membuka jalan dan menyediakan keperluan kami.”
Saudari Mbuyi Ester, seorang balu dari bandar Kinshasa juga berkata, “Sebulan lalu, suami saya telah meninggal. Saya dan tiga orang anak hidup serba kekurangan kerana saya tiada sumber pendapatan. Tidak mungkin kami mendapat begitu banyak makanan dengan usaha sendiri. Terima kasih Yehuwa!”
Kita berdoa agar Yehuwa akan terus menjaga keperluan saudara saudari kita dan memberkati kerja bantuan bencana. Kita menantikan masanya semua orang akan menikmati makanan yang melimpah.—Mazmur 72:16.