Lompat ke kandungan

Peta yang menunjukkan kedudukan Kivu Utara dan Ituri, iaitu kawasan yang mempunyai paling banyak kes Ebola. Seorang gadis sedang mencuci tangan di perhimpunan litar di Beni.

2 MEI 2019
REPUBLIK DEMOKRATIK CONGO

Wabak Ebola Merebak di Republik Demokratik Congo

Wabak Ebola Merebak di Republik Demokratik Congo

Republik Demokratik Congo bukan sahaja mengalami masalah politik, bahkan juga mengalami masalah wabak Ebola yang tercetus sejak Ogos 2018. Menurut laporan, terdapat lebih daripada 1,088 kes Ebola di Kivu Utara dan Ituri yang menyebabkan 665 orang mati. Sedihnya, saudara saudari kita juga menjadi mangsa wabak ini. Pejabat cawangan Congo (Kinshasa) melaporkan bahawa dalam kalangan Saksi-Saksi Yehuwa, terdapat 10 orang dewasa dan 2 orang kanak-kanak yang telah meninggal akibat penyakit itu. Seorang lagi saudara dijangkiti penyakit itu tetapi kini sudah sembuh.

Selepas pejabat cawangan Congo (Kinshasa) mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Koordinator, sebuah video dan ceramah khas disediakan untuk mengajar saudara saudari cara untuk mencegah penyakit itu daripada terus merebak. Video itu mengandungi tip-tip yang berguna seperti cara untuk menyediakan tempat mencuci tangan mudah alih. Semua sidang telah menurut cadangan yang diberikan. Hasilnya, dua orang pegawai kesihatan di sana tergerak untuk menulis surat penghargaan kepada pejabat cawangan dan memuji usaha Saksi-Saksi Yehuwa untuk mencegah penyakit itu daripada terus merebak.—Matius 5:16.

Di banyak kota, saudara saudari kita terpaksa dikuarantin di rumah selama berminggu-minggu. Pejabat cawangan juga meminta 12 litar untuk menunda konvensyen serantau mereka untuk mengurangkan penularan penyakit itu. Pejabat cawangan mengaturkan agar sidang-sidang yang terlibat dapat menonton video program konvensyen di dalam Dewan Perjumpaan masing-masing agar mereka dapat terus menerima makanan rohani yang diperlukan.

Kita akan terus berdoa bagi saudara saudari kita di Republik Demokratik Congo. Semoga harapan Bible tentang masa depan akan terus menguatkan kita semua.—Yesaya 33:24.