Lompat ke kandungan

22 OGOS 2023
REPUBLIK DOMINIKA

Pusat Pelawat Baharu Dibuka di Cawangan Republik Dominika

Pusat Pelawat Baharu Dibuka di Cawangan Republik Dominika

Pada 14 Ogos 2023, pusat pelawat yang baharu telah dibuka di pejabat cawangan Republik Dominika yang terletak di Santo Domingo. Pusat ini dilengkapi dengan pameran yang bertema “Haluan Iman.” Pameran ini menunjukkan bagaimana para Saksi di Republik Dominika juga memperlihatkan iman seperti saudara saudari lain di serata dunia, serta tetap teguh secara rohani meskipun dianiaya dan dilanda cabaran.

Jambatan di tasik untuk ke pusat pelawat di Bethel

Terdapat bahagian pameran yang memaparkan sejarah awal Saksi-Saksi Yehuwa di Republik Dominika, termasuk cara kebenaran disebarkan dengan menggunakan bahan bacaan dan peti nyanyi. Selain itu, mesej Bible juga disampaikan melalui surat khabar dan radio untuk mencapai lebih ramai orang. Para pelawat boleh belajar tentang kehidupan kumpulan mubaligh pertama yang ditugaskan ke Republik Dominika pada 1945.

Para mubaligh pada zaman dahulu menginjil di ladang tebu dengan menaiki kereta api kecil yang dipanggil speeders, seperti yang ditunjukkan dalam gambar

Tambahan lagi, pengunjung dapat melihat bagaimana kerja penyebaran terus dilakukan walaupun kegiatan Saksi diharamkan pada suatu ketika. Rakan seiman di Republik Dominika menghadapi tentangan sengit, tetapi mereka meneruskan kerja menyalin dan mengedarkan makanan rohani dengan berani. Secara beransur-ansur, semakin ramai orang mengenali kebenaran dan menjadi sebahagian daripada umat Yehuwa. Sebagai penutup tirai, terdapat pameran yang menunjukkan kegiatan para Saksi pada zaman moden dan kaedah menginjil yang digunakan di Republik Dominika.

Saudara Leonel Peguero, seorang pekhidmat di cawangan Republik Dominika, berkata, “Pameran ini menggabungkan sejarah awal Saksi dan kegiatan zaman moden. Para pengunjung dapat mengembara ke zaman silam melalui pameran artifak asli, gambar, serta audio dan video interaktif. Kami menjemput semua untuk datang ke pusat pelawat ini dan mendalami sejarah Saksi-Saksi Yehuwa di Republik Dominika.”