Lompat ke kandungan

Kiri: Saudara Gage Fleegle semasa program pentahbisan. Kanan atas: Dewan Perhimpunan di Turda, Romania. Kanan bawah: Cawangan Romania dan bangunan-bangunan baharunya yang ditonjolkan

20 SEPTEMBER 2023
ROMANIA

Program Pentahbisan di Romania bagi Dewan Perhimpunan dan Bangunan-Bangunan Cawangan

Program Pentahbisan di Romania bagi Dewan Perhimpunan dan Bangunan-Bangunan Cawangan

Pada 26 Ogos 2023, program pentahbisan telah dibuat untuk Dewan Perhimpunan di Turda, Romania, dan tiga bangunan baharu bagi pejabat cawangan yang sedia ada di Bucharest, Romania. Ceramah pentahbisan telah diberikan oleh Saudara Gage Fleegle, seorang ahli Badan Pimpinan, kepada hadirin berjumlah 1,702 orang di Dewan Perhimpunan Turda. Selain itu, 14,101 orang telah mendengar siaran program itu menerusi persidangan video.

Program pentahbisan juga merangkumi perkongsian tentang sejarah kerja pembinaan teokratik di Romania dan berkat-berkat yang dicurahkan oleh Yehuwa. Temu ramah bersama ahli-ahli pembinaan juga telah diadakan. Selepas program itu, Saudari Iaela Drăghici yang telah membantu dalam projek pembinaan Dewan Perhimpunan Turda berkata, “Saya sangat gembira kerana bangunan-bangunan ini sudah ditahbiskan dan akan digunakan untuk memuliakan Yehuwa.” Saudara Bruce Dyer, seorang ahli pembinaan antarabangsa yang membantu dalam projek di pejabat cawangan Romania berkata, “Kami amat menghargai peluang untuk membantu dalam kerja pembinaan di cawangan Romania. Ini suatu penghormatan yang istimewa dan kami bersyukur atas kebaikan hati Yehuwa.”

Sejumlah 1,702 saudara saudari menghadiri program pentahbisan di Dewan Perhimpunan Turda

Bangunan-bangunan baharu itu mempunyai bilik darjah untuk kegunaan Sekolah Latihan Penginjil, bilik kediaman untuk ahli keluarga Bethel, pejabat penterjemahan, Dewan Perjumpaan, dan juga lobi utama bagi pejabat cawangan. Dewan Perhimpunan Turda dapat memuatkan tempat duduk bagi 1,200 orang di dalam dewan dan 1,350 orang di luar dewan. Kira-kira 15,000 saudara saudari dari seluruh Romania akan menggunakan dewan itu.

Seramai 23,968 hadirin berada di Cluj Arena di Cluj-Napoca, Romania, untuk acara khas sehari selepas program pentahbisan. Sisipan: Saudara saudari memegang tanda yang menyatakan, “Kami Sayang Kamu!” dalam bahasa Romania

Pada hari seterusnya, iaitu 27 Ogos, satu acara khas telah diadakan di sebuah stadium yang terletak di bandar Cluj-Napoca. Seramai 23,968 orang hadirin telah menyertainya, dan program itu telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Isyarat Romania dan Bahasa Isyarat Rusia, serta bahasa Hungary, Inggeris, Romany (Romania), Rusia, dan Ukraine. Semua sidang di Romania dan Ukraine juga menonton siaran program itu di lokasi masing-masing. Maka, jumlah besar bagi acara ini ialah 121,411 orang.

Kita tumpang gembira dengan saudara saudari kita di Romania kerana bangunan-bangunan yang telah ditahbiskan itu akan terus digunakan untuk memajukan ibadat sejati.—Yesaya 2:3.