20 APRIL 2021
ROMANIA
Sambutan Peringatan 2021—Para Banduan di Romania Mendengar Ceramah Peringatan melalui Persidangan Video
Selama 17 tahun, setiap minggu, saudara-saudara kita mengadakan perbincangan Bible dengan para banduan di Penjara Jilava Bucharest di Romania. Semasa pandemik COVID-19 bermula, saudara-saudara kita tidak boleh bertemu secara bersemuka dengan banduan. Tapi, hanya dua minggu sebelum Peringatan kematian Yesus pada 27 Mac 2021, pegawai penjara mengizinkan mereka meneruskan perbincangan Bible dengan para banduan melalui persidangan video. Saudara-saudara juga tanya sama ada mereka boleh mengadakan acara sambutan Peringatan secara virtual, dan pihak penjara bersetuju. Sejumlah 21 banduan dan 4 petugas penjara mengikuti sambutan itu.
Ceramah Peringatan disampaikan dalam bahasa Romania oleh Saudara Corneliu Cepan. Saudara Angelos Karamplias pula menterjemahkannya ke bahasa Yunani untuk salah seorang banduan berbahasa Yunani, yang menonton acara itu. Empat petugas penjara, termasuk timbalan pengarah penjara, juga turut hadir.
Saudara Cepan menjelaskan, “Saya rasa ini memang suatu penghormatan besar untuk menyampaikan ceramah Peringatan. Para banduan benar-benar mendengar dan merenungkan pengorbanan Yesus yang begitu bernilai demi mereka.”
Saudara Karamplias berkata, “Kami sangat gembira kerana Yehuwa membuka pintu untuk kami menginjil kepada para banduan dan mengadakan Perjamuan Malam Tuan. Kami harap pada masa depan lebih ramai lagi banduan yang akan ikut perbincangan Bible secara virtual dan mendapat kelegaan hati daripada Firman Tuhan.”
Kita turut bergembira kerana pihak penjara memberikan kesempatan kepada para banduan untuk mendengar ceramah Peringatan.—1 Timotius 2:3, 4.