1 SEPTEMBER 2021
RUSIA
Atas Permintaan ECHR, Dua Saudara yang Sakit Tenat Bebas dari Tahanan
Pada 28 Ogos 2021, Saudara Aleksandr Lubin dan Anatoliy Isakov telah dibebaskan dari pusat tahanan sebelum perbicaraan. Keputusan ini dibuat setelah Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) membuat permohonan kepada pihak berkuasa Rusia. Walaupun kedua-dua saudara kita kurang upaya, mereka telah ditahan selama sebulan setengah di Wilayah Kurgan, Rusia. Bergantung pada keputusan mahkamah, mereka mungkin masih akan dipenjarakan.
Pada 13 dan 14 Julai 2021, pasukan keselamatan di Wilayah Kurgan mengadakan serbuan besar-besaran ke atas rumah Saksi-Saksi Yehuwa. Saudara Isakov yang berumur 56 tahun, dan Saudara Lubin yang berumur 65 tahun, antara beberapa Saksi yang telah ditahan.
Saudara Lubin menghidap penyakit vaskular yang teruk, darah tinggi, dan penyakit autoimun yang menjejaskan organ-organnya. Namun, dia tidak dibenarkan mendapat pelembap oksigen yang diperlukannya 16 jam setiap hari dan rawatan perubatan. Dia susah berjalan dan tidak dapat berdiri tanpa bantuan. Isterinya Tatyana, juga kurang upaya dan diserang strok empat kali.
Saudara Isakov disahkan menghidap kanser darah. Beberapa tulang rusuk dan tulang belakangnya patah, maka dia perlu guna kerusi roda. Di pusat tahanan sebelum perbicaraan, dia tidak dibenarkan untuk menjalani rawatan kemoterapi dan mendapat ubat tahan sakit. Sedihnya, Saudara Isakov juga dijangkiti COVID-19 di situ.
Selama berminggu-minggu, para peguam merayu mahkamah membebaskan kedua-dua saudara kita, tetapi rayuan mereka ditolak. Surat daripada para doktor di Hospital Klinikal Wilayah Kurgan mendakwa bahawa Saudara Lubin dan Isakov tidak ada penyakit yang mengecualikan mereka daripada ditahan sebelum perbicaraan. Hakim-hakim telah membuat keputusan berdasarkan dakwaan itu.
Pada 8 Ogos 2021, para peguam hantar aduan kepada ECHR. Kemudian, ECHR buat permohonan kepada Pejabat Ketua Pendakwa Raya di Persekutuan Rusia. Pada 24 Ogos 2021, dua saudara kita dihantar semula ke Hospital Klinikal Wilayah Kurgan. Kali ini, para doktor mengaku bahawa Saudara Lubin dan Isakov sangat sakit, maka mereka tidak patut ditahan.
Kita berdoa bagi dua saudara kita yang tetap setia walaupun sakit dan dianiaya. Kita yakin Yehuwa akan terus “menunjukkan kekuatan-Nya” bagi pihak mereka.—2 Tawarikh 16:9.