17 FEBRUARI 2021
RUSIA
Dua Orang Saudari di Rusia Mungkin Disabitkan selepas Hampir Setahun Ditahan
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan
Pada 15 September 2021, Mahkamah Wilayah Smolensk menolak rayuan Saudari Sorokina dan Saudari Troshina. Hukuman asal mereka masih berkuat kuasa. Mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 22 April 2021, Mahkamah Daerah Sychyovskiy di Wilayah Smolensk mensabitkan Saudari Nataliya Sorokina dan Saudari Mariya Troshina. Mereka masing-masing dikenakan hukuman penjara tertangguh selama enam tahun.
Profil
Nataliya Sorokina
Tahun Lahir: 1975 (Dresden, Jerman)
Biografi: Dari Jerman, berpindah ke Saint Petersburg dan kemudian ke Sychyovka di Wilayah Smolensk. Bekerja sebagai jururawat. Suka buat kraf tangan dan belajar bahasa lain agar dapat menginjil kepada lebih ramai orang. Mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Sangat kagum dengan apa yang dipelajarinya tentang ciptaan dan harapan masa depan. Hal ini menyemarakkan keinginannya untuk menyembah Tuhan dengan sedaya upaya. Dibaptis pada Ogos 1994
Mariya Troshina
Tahun Lahir: 1977 (Saint Petersburg)
Biografi: Sejak kecil, minat belajar tentang sejarah. Pernah bekerja sebagai pemandu pelancong. Suka belajar bahasa lain untuk meluaskan kerja penyebarannya
Mula belajar dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Kagum mengetahui bahawa Bible tepat dari segi sejarah dan sains. Membaktikan hidupnya kepada Tuhan Yehuwa pada Julai 1991. Ibunya yang sudah meninggal, pernah belajar Bible dan dibaptis
Sejarah Kes
Pada 7 Oktober 2018, para pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) dan polis tempatan menyerbu empat buah rumah di Sychyovka. Pegawai FSB merampas barang-barang milik 17 saudara saudari, termasuk kanak-kanak. Saudari Nataliya Sorokina dan Saudari Mariya Troshina ditangkap dan ditempatkan di pusat tahanan sementara.
Mariya menjelaskan bahawa membaca pengalaman Saksi-Saksi Yehuwa yang ditangkap kerana kepercayaan mereka membantunya untuk bersedia menghadapi tentangan. Dia berkata, “Saya rasa tenang pada masa serbuan itu dan semasa saya ditangkap. Saya tidak sangka saya memiliki kedamaian sedemikian dalam hati saya. Hal ini boleh berlaku hanya kerana kuasa suci Tuhan.”
Dua hari selepas serbuan itu, Mahkamah Daerah Leninskiy di bandar Smolensk mengarahkan kedua-dua saudari kita ditahan sebelum perbicaraan. Mereka tetap dalam tahanan selama 191 hari. Selepas itu, mereka ditahan di rumah lebih daripada enam bulan.
Kedua-dua saudari itu mengakui bahawa mereka berjaya mengharungi cabaran itu kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa selama ini. Nataliya menerangkan bahawa amat penting untuk kita memiliki pandangan rohani. Dia menjelaskan bahawa semasa menghadapi penganiayaan, sangat penting bagi kita untuk ingat siapa dalang di sebaliknya. Dia berkata, “Selama ini, Syaitan ialah punca penganiayaan umat Tuhan, dan tuduhan yang dilontarkannya melibatkan kita semua.”
Mariya menambah, “Hubungan dengan Yehuwa dipupuk hari demi hari. Jadi, sangat penting untuk perhatikan bagaimana Yehuwa prihatin dan bantu kita setiap hari. Belajarlah untuk bergantung pada-Nya dalam segala perkara. Pupuklah kesukaan membaca Bible setiap hari, cuba ingat apa yang berlaku pada zaman Bible, dan hafal ayat-ayat Bible yang digemari.”
Iman dan ketabahan saudari-saudari kita ialah teladan yang baik bagi kita semua, kerana mereka terus ‘percaya kepada Yehuwa yang akan membantu mereka dan menjadi seperti perisai bagi mereka.’—Mazmur 115:11.