Lompat ke kandungan

Kiri ke kanan: Saudara Vladimir Khokhlov, Saudari Tatyana Shamsheva, Saudari Olga Silaeva, dan Saudara Eduard Zhinzhikov

3 SEPTEMBER 2020
RUSIA

Dua Saudara dan Dua Saudari Dinyatakan Bersalah kerana Iman Mereka

Dua Saudara dan Dua Saudari Dinyatakan Bersalah kerana Iman Mereka

Keputusan Mahkamah

Pada 3 September 2020, mahkamah di Novozybkov, Wilayah Bryansk menyatakan bahawa Saudara Vladimir Khokhlov, Saudari Tatyana Shamsheva, Saudari Olga Silaeva, dan Saudara Eduard Zhinzhikov bersalah. Mereka dijatuhkan hukuman penjara antara satu tahun hingga satu tahun tiga bulan. Tetapi memandangkan mereka sudah ditahan sebelum perbicaraan untuk jangka masa itu, mereka telah dibebaskan.

Profil

Vladimir Khokhlov

  • Tahun Lahir: 1977 (Novozybkov, Wilayah Bryansk)

  • Biografi: Seorang mekanik. Pernah berkhidmat sebagai askar sebelum menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Hobinya bermain bola sepak, membaca, memancing, dan bermain gitar

  • Dia digalakkan oleh seorang kawan untuk belajar Bible. Berkahwin dengan Olga pada 2007. Mereka ada seorang anak perempuan bernama Anastasia. Mereka sekeluarga menyembah Yehuwa

Tatyana Shamsheva

  • Tahun Lahir: 1977 (Cherepovets, Wilayah Vologda)

  • Biografi: Ahli ekonomi. Mengajar ekonomi, undang-undang, dan perakaunan selama bertahun-tahun. Dibaptis pada 1995. Suka mengajar orang lain tentang Bible

Olga Silaeva

  • Tahun Lahir: 1988 (Davydovo, Wilayah Moscow)

  • Biografi: Ada tiga orang adik-beradik. Dia ialah yang bongsu. Lulusan sekolah teknik dan mendapat ijazah dalam kejuruteraan terma. Suka menjahit, membaca, dan bermain bola tampar. Mengikut teladan ibunya dan menghargai Bible

Eduard Zhinzhikov

  • Tahun Lahir: 1971 (Zadnya, Wilayah Bryansk)

  • Biografi: Bekerja sebagai tukang kimpal dan tukang bersih. Pernah bekerja bagi polis. Dulu, dia seorang ahli band. Berkahwin dengan Tatyana, yang juga dalam band yang sama, pada 1993. Suka menulis puisi dan bermain gitar

  • Mula belajar Bible sekitar tahun 2000. Dia mendapat jawapan kepada banyak soalan tentang kehidupan. Dia berusaha mengubah tabiat buruknya dan menjadi suami yang lebih baik. Tatyana kagum dengan perubahannya dan kemudiannya menjadi seorang Saksi

Sejarah Kes

Pada 11 Jun 2019, pihak berkuasa telah menyerbu 22 buah rumah Saksi di Wilayah Bryansk, Rusia. Saudari Tatyana Shamsheva dan Saudari Olga Silaeva telah ditahan sebelum dibicarakan. Mereka masing-masing ditahan selama 245 hari. Mereka dibebaskan pada Mei 2020 dan diizinkan pulang sementara menunggu kes mereka dibicarakan.

Pada 16 Oktober 2019, kes jenayah dibuka terhadap Saudara Vladimir Khokhlov dan Saudara Eduard Zhinzhikov. Tujuh hari selepas itu, kedua-dua saudara kita ditahan biarpun kes mereka belum dibicarakan. Akhirnya, kes mereka digabungkan dengan kes Saudari Shamsheva dan Silaeva.

Kedua-dua saudari kita ditemu ramah dalam Berita Terkini Badan Pimpinan 2020 #5. Iman Saudari Silaeva tetap teguh walaupun dia ditahan selama lapan bulan. Dia berkata, “Bila saya dalam keadaan yang sangat susah, Yehuwa selalu memberi kuasa suci supaya kita dapat mengharungi apa pun cabaran.” Saudari Shamsheva juga meluahkan keyakinan yang sama. Dia kata, “Yehuwa selalu dekat dengan saya dan Dia akan selalu membantu, menyokong, dan menguatkan kita.”

Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus membantu saudara saudari kita di Rusia yang dipenjarakan atau yang akan dibicarakan. Yehuwa pasti memberi mereka ketabahan, kedamaian, dan sukacita.—1 Korintus 10:13.