1 MAC 2019
RUSIA
ECHR Bertindak dengan Cepat setelah Menerima Permohonan Saudara Kita di Rusia
Pada 25 Februari 2019, peguam Saudara Sergey Loginov telah membuat laporan kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) dan memohon ECHR untuk bertindak bagi pihak saudara kita. Saudara Loginov ialah salah seorang daripada tujuh orang saudara yang telah diseksa oleh pihak berkuasa di Surgut, sebuah bandar di barat Siberia. Enam orang saudara itu telah dibebaskan, tetapi Saudara Loginov masih ditahan sebelum perbicaraannya dan tidak mendapat rawatan yang diperlukan untuk kecederaan yang dialaminya.
Pada 26 Februari, iaitu sehari selepas laporan itu dibuat, ECHR meluluskan permohonan Saudara Loginov. ECHR menyuruh Rusia agar “segera” menghantar sekumpulan doktor swasta untuk memeriksa keadaan “fizikal dan psikologi” Saudara Loginov, dan menentukan sama ada keadaannya mengizinkannya untuk terus ditahan sehingga perbicaraannya berlangsung atau tidak. Kerajaan Rusia harus memberikan jawapan mereka sebelum 11 Mac 2019.
ECHR hanya akan meluluskan permohonan sebegini jika nyawa seseorang terancam atau jika seseorang dicederakan dengan teruk. Kita berasa amat digalakkan kerana ECHR telah bertindak dengan segera, iaitu dalam masa satu hari selepas mereka menerima laporan ini. ECHR juga akan memantau keadaan saudara-saudara yang didera oleh pihak berkuasa di Rusia.
Pada waktu ini, terdapat 19 orang Saksi yang menghadapi tuduhan jenayah di Surgut. Tiga daripada mereka sedang ditahan sebelum kes mereka dibicarakan.
Kita akan terus berdoa bagi saudara saudari kita. Semoga kita sentiasa ingat akan kata-kata Yeremia yang berikut: “Terpujilah orang yang berharap kepada Yehuwa, yang bergantung pada Yehuwa.”—Yeremia 17:7.