Lompat ke kandungan

Dari kiri atas, mengikut arah jam: Saudara Andrey Tabakov, Saudara Mikhail Zelenskiy, Saudara dan Saudari Mysin, Saudara Aleksandr Ganin, dan Saudara Khoren Khachikyan

2 OKTOBER 2020
RUSIA

Empat Orang Saudara dan Sepasang Suami Isteri Mungkin Dijatuhkan Hukuman Penjara selama Tujuh Tahun di Rusia

Empat Orang Saudara dan Sepasang Suami Isteri Mungkin Dijatuhkan Hukuman Penjara selama Tujuh Tahun di Rusia

Keputusan Mahkamah

Pada 5 Oktober 2020, a Mahkamah Daerah Zasviyazhsky di Bandar Ulyanovsk dijadualkan untuk mengumumkan keputusan kes Saudara Aleksandr Ganin, Khoren Khachikyan, Andrey Tabakov, dan Mikhail Zelenskiy, serta Saudara Sergey Mysin dan isterinya, Nataliya. Mereka semua mungkin dipenjarakan mengikut tempoh masa yang berbeza, iaitu dari tiga hingga tujuh tahun. Pihak pendakwa juga meminta mahkamah untuk merampas wang dan kereta mereka, yang berjumlah kira-kira 1.57 juta ruble (RM 83,624).

Profil

Aleksandr Ganin

  • Tahun Lahir: 1957 (Ekhabi, Pulau Sakhalin)

  • Biografi: Dia ialah Saksi-Saksi Yehuwa yang sudah dibaptis lebih daripada 20 tahun. Sudah bersara dan suka berkebun

Khoren Khachikyan

  • Tahun Lahir: 1985 (Yerevan, Armenia)

  • Biografi: Mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi. Menyertai pertandingan gusti semasa muda. Dikenali sebagai seorang lelaki yang lemah lembut dan baik hati

  • Mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa kerana dia ingin mengenal Tuhan dengan lebih baik dan hidup menurut hukum-Nya. Menghargai ajaran Bible yang logik dan harmoni

Sergey Mysin

  • Tahun Lahir: 1965 (Kulebaki, Kawasan Nizhny Novgorod)

  • Biografi: Semasa belajar untuk menjadi seorang jurutera, dia berjumpa dengan bakal isterinya, Nataliya. Mereka berkahwin pada tahun 1991. Mereka menyembah Yehuwa selama lebih daripada 20 tahun dan mempunyai dua orang anak dewasa. Suka bersukan, terutamanya lacrosse

Nataliya Mysina

  • Tahun Lahir: 1971 (Leningrad, sekarang dikenali sebagai Saint Petersburg)

  • Biografi: Dilahirkan dalam keluarga tentera. Tinggal di Jerman sebelum tamat pengajian di kolej sebagai ahli farmasi. Suka memasak, membuat kek dan sebagainya

Andrey Tabakov

  • Tahun Lahir: 1973 (Minsk, Belarus)

  • Biografi: Bekerja dalam bidang teknologi maklumat. Berkahwin dengan Marina pada tahun 2006. Mereka belajar Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa dan dibaptis. Suka membaiki alat elektronik, seperti radio dan komputer

Mikhail Zelenskiy

  • Tahun Lahir: 1960 (Bulaesti, Moldova)

  • Biografi: Pernah bekerja sebagai kelasi dan pemandu lori. Berkahwin dengan Victoria pada tahun 1989. Pada awal tahun 1990-an, mereka mula belajar Bible. Mereka mengasihi Yehuwa dan dibaptis

Sejarah Kes

Hampir tiga tahun yang lalu, Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) di Rusia mula mengawasi saudara saudari kita di Ulyanovsk. Mereka juga mengintip dengar perbualan telefon saudara saudari kita. Pada 24 Februari 2019, pihak FSB memulakan siasatan jenayah atas pasangan Mysin dan Saudara Khachikyan, Tabakov, dan Zelenskiy.

Tiga hari kemudian, pada jam 5 pagi, pihak berkuasa menggeledah rumah Saudara Khachikyan, Tabakov, dan Zelenskiy. Ketiga-tiga saudara itu ditangkap dan ditahan buat sementara. Pada pagi itu juga Saudari Mysina menerima sebuah panggilan telefon. Pemanggil itu memberitahunya bahawa kereta Saudari Mysina mengalami kerosakan dan meminta agar dia dan suaminya, Sergey, keluar dari rumah. Sebaik sahaja Saudara Mysin membuka pintu, pegawai FSB menyerbu masuk ke dalam apartmen mereka. Pegawai-pegawai itu menggeledah apartmen mereka dan merampas semua alat elektronik keluarga mereka. Kemudian pasangan itu ditahan.

Pada keesokan hari, Mahkamah Daerah Leninsky di Kawasan Ulyanovsk mengarahkan supaya Saudara Mysin ditahan reman. Saudari Mysina dan tiga saudara yang lain ditahan di rumah sendiri.

Saudara Mysin ditahan reman selama 55 hari dan ditahan di rumahnya selama 123 hari. Saudari Mysina, Saudara Khachikyan, Tabakov, dan Zelenskiy ditahan di rumah mereka selama sekitar 50 hingga 55 hari.

Pada pagi 15 Mei 2019, pegawai FSB menggeledah rumah Saudara Ganin dan menahan dia. Dia dimasukkan ke pusat tahanan sementara selama dua hari.

Keenam-enam penyiar ini sekarang mempunyai larangan tertentu ke atas aktiviti mereka. Tetapi pihak berkuasa masih memberi tekanan kepada mereka. Pihak berkuasa tempatan telah membekukan akaun bank pasangan Mysin dan Saudara Tabakov yang mempunyai wang sekitar 500,000 ruble (RM 26,515) dan 600,000 ruble (RM 31,824) masing-masing.

Kita berdoa agar saudara saudari kita yang dianiaya di Rusia akan terus dikuatkan dan merasai kebenaran kata-kata berikut: “Tuhan ialah tempat naungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.”—Mazmur 46:1.

[Nota kaki]

a Mungkin berubah