24 MAC 2021
RUSIA
Empat Saudara di Smolensk Berdepan dengan Penganiayaan Teruk dan Hukuman Penjara kerana Iman Mereka
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan
Pada 31 Ogos 2021, Mahkamah Wilayah Smolensk menolak rayuan Saudara Deshko, Saudara Korolyov, dan Saudara Shalev. Hukuman asal mereka masih berkuat kuasa. Mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Mahkamah Rusia Mensabitkan Tiga Saudara sebagai “Ekstremis”
Pada 23 April 2021, Mahkamah Daerah Perindustrian di Smolensk mensabitkan Saudara Yevgeniy Deshko, Saudara Ruslan Korolyov, dan Saudara Valeriy Shalev bersalah. Saudara Korolyov dan Saudara Shalev masing-masing dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama enam setengah tahun. Manakala Saudara Deshko dikenakan hukuman penjara tertangguh selama enam tahun.
Profil
Yevgeniy Deshko
Tahun Lahir: 1989 (Sochi)
Biografi: Pernah bekerja sebagai ahli terapi urut, drebar, dan juruelektrik. Dibesarkan oleh ibu bapa yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa. Setelah memahami dan menghormati prinsip Bible, dia menolak khidmat tentera. Dibaptis pada 2012. Dari 2012 ke 2014, dia melakukan khidmat awam alternatif sebagai atendan di hospital geriatrik
Ruslan Korolyov
Tahun Lahir: 1982 (Smolensk)
Biografi: Suka membaiki alat elektronik sejak kecil. Kemudian menjadi mekanik. Pernah berkhidmat sebagai tentera. Belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Kebenaran dalam Bible memberinya kelegaan hati. Dibaptis pada 2004
Viktor Malkov
Tahun Lahir: 1959 (Smolensk)
Biografi: Pernah bekerja sebagai mekanik, tukang kayu, dan tukang baiki atap. Berkahwin dengan isterinya Vera pada 1992. Suka bermain bola sepak semasa muda. Bantu menjaga saudara kandungnya yang cacat penglihatan
Dahulunya berkelakuan ganas yang menyebabkannya dipenjarakan selama tujuh tahun. Dia hampir bercerai dengan isterinya. Tetapi kemudian belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan buat perubahan. Dia menjadi suami yang baik dan orang yang cinta akan kedamaian dan mematuhi undang-undang. Dibaptis pada 2008. Meninggal pada 26 April 2020
Valeriy Shalev
Tahun Lahir: 1977 (Yartsevo)
Biografi: Belajar bahasa Inggeris semasa muda. Merupakan graduan akademi tentera. Berpindah ke Timur Jauh Rusia sebagai akauntan tentera. Selepas tamat khidmat tentera, dia bekerja sebagai perunding kewangan. Pada 1999, berkahwin dengan Svetlana, selepas berkenalan di kolej. Dia juga mengambil anak Svetlana, yang berumur empat tahun, sebagai anak angkatnya. Tetap aktif dengan bermain bola dan berlari
Ibu Valeriy mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan mengongsi pengetahuan itu dengannya. Dia cuba membuktikan kepercayaan ibunya salah tetapi kemudian sedar bahawa itu ialah kebenaran. Dibaptis pada 2002
Sejarah Kes
Penganiayaan di Smolensk sudah berlaku sebelum keputusan Mahkamah Agung 2017 yang menganggap aktiviti Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia sebagai jenayah. Pada 18 Disember 2016, 15 pegawai polis bersenjata menyerbu masuk ke sebuah Dewan Perjumpaan di Smolensk. Pada masa itu, kira-kira 60 saudara saudari sedang menghadiri perjumpaan di sana. Semasa serbuan itu, para pegawai telah meletakkan bukti palsu, iaitu bahan bacaan yang dianggap oleh kerajaan Rusia sebagai “bahan ekstremis.”
Selepas itu, para pegawai melakukan banyak serbuan, tangkapan, dan tahanan sepanjang tahun 2018 dan 2019. Pada 25 April 2019, pegawai telah menggeladah beberapa rumah dan memberkas Saudara Ruslan Korolyov, Valeriy Shalev, dan Viktor Malkov. Viktor bertanya kepada para pegawai, “Dulu saya dipenjarakan tujuh tahun kerana bergaduh dan berlawan. Kemudian saya belajar Bible dan berubah. Sekarang kamu mahu penjarakan saya kerana . . . menyebarkan berita baik?”
Saudara Yevgeniy Deshko diberkas dan ditahan beberapa hari selepas saudara-saudara tersebut. Dia mengenang, “Kerana saya sudah jangka hal seperti ini akan berlaku, maka saya bersedia untuk menerimanya.” Kata-kata Yehuwa kepada Yosua telah menggalakkan Yevgeniy, iaitu, “Hendaklah engkau berani dan teguh. Janganlah berasa takut atau gentar kerana Aku, Yehuwa, ialah Tuhanmu yang akan menyertaimu ke mana sahaja engkau pergi.” (Yosua 1:9) Yevgeniy menjelaskan, “Saya bukan saja dibantu untuk jadi berani tapi juga untuk yakin akan sokongan Yehuwa.”
Sewaktu dalam tahanan, Ruslan merenungkan kata-kata Yesus di Matius 6:34, dan bukannya asyik khuatir tentang masa depan. Ruslan mengingat kembali, “Saya menggunakan masa untuk tulis surat, baca Bible, dan kongsi kebenaran dengan rakan sepenjara. Saya tiada masa untuk dibanjiri perasaan risau dan gelisah.”
Empat saudara itu telah dipenjarakan serta ditahan di rumah selama hampir setahun. Tetapi pada Mac 2020, G. P. Bezrukov, pegawai penyiasat Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB), mengurangkan sekatan dan menamatkan tahanan rumah untuk mereka. Perubahan ini berlaku kerana sikap positif dan kelakuan baik empat saudara yang setia itu. Pegawai tersebut yakin bahawa walaupun mereka diberikan lebih kebebasan, mereka tidak akan ganggu atau menimbulkan ancaman terhadap siasatan yang berterusan.
Sedihnya, tidak lama selepas itu, Viktor meninggal. Menurut laporan, keadaan teruk di tempat tahanan dan juga stres berikutan perbicaraan itu telah menjejaskan kesihatannya sehingga tidak dapat dipulihkan.
Ruslan, Valeriy, dan Yevgeniy bertekad untuk mengikut teladan Viktor dan ramai lagi saudara saudari yang tetap setia sampai akhir. Dengan memelihara kerohanian, mereka bukan sahaja dapat menangani penganiayaan, malahan dapat menghadapinya dengan berjaya.
Valeriy berkata, “Sejak dipenjarakan, saya lebih menghampiri Yehuwa. Saya tak pernah rasa begitu rapat dengan-Nya. Saya membaca Bible dengan tetap. Penjara memang bukan tempat baik untuk didiami, tapi ada juga orang yang bertahan tanpa bantuan Tuhan. Apatah lagi kita yang ada sokongan Yehuwa, pastinya kita boleh bertabah.”
Yevgeniy mengatakan bahawa dia kini lebih yakin akan bantuan Yehuwa. Dia menjelaskan, “Saya pasti Bapa Yehuwa sentiasa bantu kita, terutamanya semasa menghadapi cubaan yang sangat teruk. Sekarang saya tidak lagi risau akan cabaran yang mungkin berlaku di masa depan.”
Tidak kira apa keputusan mahkamah, Yevgeniy berkata, “Saya bertekad untuk bertahan dalam apa jua situasi dan tetap setia kepada Yehuwa.”
Dengan pertolongan Yehuwa, kita yakin saudara-saudara tersebut dan keluarga mereka dapat terus bertabah dengan sukacita semasa mengharungi kesusahan ini.—2 Tesalonika 3:5.