Lompat ke kandungan

Pegawai polis dan pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) menyerbu rumah seorang Saksi di Nizhny Novgorod pada tahun 2019

15 JULAI 2020
RUSIA

Jumlah Serbuan Terbanyak terhadap Rakan Seiman di Rusia

Jumlah Serbuan Terbanyak terhadap Rakan Seiman di Rusia

Menurut laporan media, sebanyak 110 rumah saudara saudari kita di kawasan Voronezh telah diserbu oleh pegawai yang bersenjata pada 13 Julai 2020. Ini merupakan jumlah serbuan terbanyak dalam sehari terhadap Saksi-Saksi Yehuwa sejak tahun 2017. Dua saudara kita, iaitu Aleksandr Bokov dan Dmitrii Katyrov, telah dipukul dan dihina kerana enggan mendedahkan kata laluan telefon bimbit mereka.

Mahkamah Daerah Leninsky di Voronezh telah memerintahkan serbuan itu. Para pegawai telah menyerbu rumah Saksi di sekurang-kurangnya tujuh bandar, kota, dan pekan di kawasan itu. Beberapa orang saudara kita telah dibawa ke pejabat Jawatankuasa Siasatan tempatan untuk disoal siasat.

Pada hari berikutnya, iaitu 14 Julai 2020, Mahkamah Daerah Leninsky telah mengarahkan 10 orang saudara ditahan sehingga 3 September 2020. Mereka ialah Aleksei Antiukhin (44 tahun), Sergey Bayev (47 tahun), Iurii Galka (44 tahun), Valeriy Gurskiy (56 tahun), Vitalii Nerush (41 tahun), Stepan Pankratov (24 tahun), Igor Popov (54 tahun), Evgenii Sokolov (44 tahun), Mikhail Veselov (51 tahun), dan Anatoliy Yagupov (51 tahun).

Laporan media menyatakan bahawa 110 buah rumah telah diserbu. Buat masa ini, kami mendapat pengesahan daripada 100 keluarga Saksi bahawa rumah dan hak milik lain mereka telah digeledah. Namun, jumlah ini mungkin semakin bertambah. Kami tidak dapat menghubungi semua saudara yang terlibat kerana telefon dan komputer mereka telah dirampas semasa serbuan itu.

Sebelum ini, jumlah serbuan tertinggi yang dilakukan dalam sehari ialah pada 10 Februari 2020. Pada masa itu, 50 buah rumah Saksi di kawasan Transbaikal telah diserbu. Sejak keputusan Mahkamah Agung diumumkan pada 2017, lebih daripada 1,000 buah rumah saudara saudari kita telah diserbu.

Kita tidak berasa hairan melihat penganiayaan melanda saudara saudari kita kerana hal-hal itu sudah dinubuatkan dalam Bible. Kita terus berdoa untuk mereka dan yakin bahawa Yehuwa akan memberi mereka kuasa suci-Nya agar dapat tetap setia.—1 Petrus 4:12-14, 19.