8 JUN 2022
RUSIA
Mahkamah Eropah Membuat Keputusan Bersejarah Berkenaan Penganiayaan Rusia terhadap Saksi-Saksi Yehuwa
Pada 7 Jun 2022, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) membuat keputusan penting berkenaan a penganiayaan Rusia terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. ECHR mengumumkan bahawa perbuatan Rusia yang mengharamkan Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 2017 melanggar undang-undang. Mahkamah itu juga menyatakan bahawa Rusia melanggar undang-undang kerana mengharamkan bahan bacaan Saksi dan laman web jw.org. Rusia diarahkan untuk membatalkan semua kes jenayah terhadap saudara saudari kita dan membebaskan semua Saksi yang dipenjarakan. Rusia juga diarahkan untuk mengembalikan semua harta yang dirampas atau membayar pampasan sebanyak 59,617,458 euro (63,684,978 USD). Rusia juga diarahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak 3,447,250 euro (3,682,445 USD) kepada pemohon yang terlibat.
Keputusan mahkamah ini mengambil kira 20 kes dari tahun 2010 hingga 2019, yang melibatkan lebih daripada 1,400 pemohon, sama ada individu Saksi atau badan berdaftar Saksi. Namun, keputusan ECHR mempengaruhi lebih banyak orang. Keputusan mahkamah menyatakan bahawa Rusia ‘mesti mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk membatalkan semua kes jenayah terhadap Saksi-Saksi Yehuwa dan membebaskan semua Saksi-Saksi Yehuwa yang dikurung.’ Keputusan ini menyatakan bahawa setiap Saksi, tidak kira yang ada di dalam atau di luar Rusia, adalah tidak bersalah dan merupakan rakyat yang mematuhi undang-undang. Maka mereka tidak patut didakwa dan dipenjarakan.
Rusia membuat tuduhan bahawa tindakan, kepercayaan, bahan bacaan, dan laman web Saksi bersifat ekstremis. Namun pernyataan ECHR berulang kali menunjukkan bahawa tuduhan itu tidak berasas. Perhatikan beberapa petikan daripada keputusan ECHR:
Tindakan: ECHR menekankan bahawa mahkamah Rusia “tidak mengenal pasti mana-mana tindakan, kata-kata, atau perbuatan pemohon yang mengandungi unsur keganasan, kebencian, atau diskriminasi terhadap orang lain.” (§271)
Kepercayaan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa mempunyai kebenaran: “Menggunakan cara yang damai untuk meyakinkan orang lain bahawa agama seseorang lebih baik dan menggalakkan mereka untuk meninggalkan ‘agama palsu’ dan menyertai ‘agama yang benar’ tidak melanggar kebebasan untuk beragama dan kebebasan untuk bersuara.” (§156)
Transfusi darah: “Seseorang berhak untuk menolak transfusi darah. Kebebasan untuk memilih rawatan kesihatan yang diingini, dijamin oleh Konvensyen Eropah dan undang-undang Rusia.” (§165)
Menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani: “Menolak khidmat tentera kerana ajaran agama tidak melanggar mana-mana undang-undang Rusia.” (§169)
Bahan bacaan kita: “Kegiatan agama pemohon dan kandungan bahan bacaan mereka nampaknya selaras dengan ajaran mereka untuk berdamai dan menjauhi keganasan.” (§157)
JW.ORG: Mahkamah memutuskan bahawa kandungan di jw.org tidak bersifat ekstremis. Jika pihak berkuasa membantah sesetengah maklumat pada laman web itu, mereka patut mengarahkan organisasi Saksi untuk mengeluarkan bahagian yang dianggap tidak sesuai. Mereka tidak patut mengharamkan seluruh laman web itu. (§231 dan §232)
Pernyataan mahkamah mengutuk pihak berkuasa Rusia kerana bersikap prejudis, berat sebelah, dan “tidak jujur.” (§187) Sebagai contoh, perhatikan pernyataan berikut tentang apa yang ditemui oleh Mahkamah:
“Pembubaran semua organisasi Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia tidak dibuat atas sebab yang berlandaskan undang-undang. Sebaliknya, bukti menunjukkan bahawa pihak berkuasa Rusia berprasangka terhadap amalan agama Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka mahu Saksi-Saksi Yehuwa menyangkal iman sendiri dan mahu menghalang orang lain daripada menyertai agama Saksi.” (§254)
Pihak berkuasa Rusia menggunakan “tatacara yang tidak betul.” Contohnya, Mahkamah Agung Rusia membuat keputusan berdasarkan laporan pakar yang dipilih oleh polis dan pihak pendakwa, tanpa mengkaji bahan bacaan Saksi dengan objektif. (§203)
Undang-undang tentang ekstremis yang digubal tidak jelas dan terlalu luas. Hal ini membolehkan pihak berkuasa untuk bertindak sewenang-wenangnya terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. (§272)
Kita tidak tahu kesan keputusan ECHR terhadap Rusia. Namun, kita tidak bergantung pada pemimpin manusia. Sebaliknya, kita “berharap kepada Yehuwa.” Dialah “penolong dan pelindung” kita.—Mazmur 33:20.