7 MAC 2022
RUSIA
Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah Menyatakan Rusia Langgar Hak Asasi dan Kebebasan Saksi-Saksi Yehuwa
Pada 22 Februari 2022, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) membuat dua keputusan yang berpihak kepada 15 Saksi Yehuwa. Kes-kes mahkamah ini melibatkan para pegawai penguat kuasa undang-undang yang menganiaya saudara saudari kita semasa serbuan rumah yang berlaku antara 2010 hingga 2012. Keputusan tersebut menegaskan bahawa pihak Rusia melanggar hak asasi kebebasan beragama saudara saudari kita. Mahkamah mengarahkan agar Rusia membayar lebih daripada 99,000 euro (kira-kira RM471,588) sebagai pampasan. Keputusan itu adalah muktamad dan rayuan tidak dibenarkan.
Kedua-dua keputusan ECHR adalah bagi enam kes terhadap Rusia. a Pihak yang didakwa (defendan) menyatakan bahawa pegawai penguat kuasa Rusia guna waran geledah yang tidak sah untuk serbu rumah-rumah serta sebuah Dewan Perjumpaan, memeriksa dua saudari yang ditahan kerana menginjil dengan menanggalkan pakaian mereka, dan merampas barang-barang peribadi. Kadang-kadang, serbuan itu dilakukan oleh pegawai FSB yang bertopeng serta bersenjata dan mereka guna kekerasan terhadap saudara saudari kita.
Ada kalanya, pasukan peguam untuk Saksi-Saksi Yehuwa telah minta pendapat peguam hak asasi antarabangsa, André Carbonneau. Encik Carbonneau kata bahawa kedua-dua keputusan itu, “mewujudkan duluan yang sangat penting untuk membuktikan Rusia telah menyerbu rumah Saksi-Saksi Yehuwa dengan tidak adil dan melanggar undang-undang, termasuk 1,700 serbuan yang berlaku sejak Saksi-Saksi Yehuwa diharamkan pada 2017. Kini, jika rumah seorang Saksi Yehuwa diserbu semata-mata kerana agamanya, tindakan itu dianggap menyalahi undang-undang dan melanggar Konvensyen Eropah.” Beliau menambah, “Yang penting, ECHR mengutuk pihak berkuasa Rusia kerana menghalang Saksi-Saksi Yehuwa menginjil dari rumah ke rumah. Ini menunjukkan bahawa ECHR memandang kerja penyebaran sebagai aktiviti keagamaan dan pihak berkuasa Rusia tidak berhak menghentikannya.”
Walaupun kedua-dua keputusan tersebut tidak mengutuk penganiayaan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia, ianya membuka pintu bagi mahkamah itu untuk membuat keputusan pada masa depan berkaitan dengan pengharaman organisasi kita. Terdapat lebih daripada 60 kes Saksi-Yehuwa di Rusia yang menunggu keputusan ECHR. Semoga kedua-dua keputusan positif ini akan mencerminkan bagaimana ECHR memutuskan kes-kes tersebut.
Kita tumpang gembira melihat pihak berkuasa hak asasi manusia mengakui kesetiaan yang tidak berbelah bahagi saudara saudari kita di Rusia. Keputusan-keputusan ini membuktikan bahawa Yehuwa berkati usaha mempertahankan nama-Nya dengan setia dan menjunjung hak pemerintahan-Nya.—Mazmur 26:11.
a Enam kes itu ialah: Chavychalova lwn. Russia; Cheprunovy and Others lwn. Russia; Novakovskaya lwn. Russia; Ogorodnikov and Others lwn. Russia; Pekshuyev and Others lwn. Russia; dan Zharinova lwn. Russia.