22 OGOS 2019
RUSIA
Mahkamah Rayuan Mengarahkan agar Saudara Andrey Suvorkov Tidak Lagi Ditahan di Rumah
Pada 13 Ogos 2019, mahkamah rayuan di bandar Kirov mengarahkan agar Saudara Andrey Suvorkov, yang berumur 26 tahun, tidak lagi ditahan di rumah. Walaupun Saudara Suvorkov sudah diberi lebih banyak kebebasan, kes siasatan jenayah terhadapnya masih berterusan.
Seperti yang dilaporkan dahulu, Saudara Suvorkov, bapa tirinya, dan tiga orang saudara telah ditahan pada 9 Oktober 2018. Ketika itu, polis tempatan dan pasukan gerak khas yang bertopeng menyerbu dan menggeledah 19 buah rumah di Kirov.
Mengingat kembali saat rumahnya digeledah, Saudara Suvorkov berkata, “Kebanyakan barang kami yang bernilai telah dirampas. Tetapi saya dan isteri saya tidak bimbang tentang hal itu kerana kami berusaha untuk hidup sederhana dan tidak mencintai kebendaan. Kami dapat tetap tenang kerana kami selalu ingat nasihat di Matius 6:21 yang berkata, ‘Di mana harta kamu, di situ juga hati kamu.’”
Selepas serbuan itu, Saudara Suvorkov, bapa tirinya, dan tiga orang saudara itu didakwa melakukan jenayah kerana menyanyikan lagu teokratik, mempelajari bahan bacaan rohani, dan memiliki sebuah Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Rusia. Mereka ditahan buat sementara sambil menunggu keputusan mahkamah. Mereka mungkin akan dibebaskan atau dipenjarakan lagi sebelum kes mereka dapat dibicarakan.
Saudara Suvorkov berkata, “Selama dua malam, saya berada di bilik tahanan sementara. Pada masa itu, saya berdoa dengan tidak henti-henti. Saya pasti Yehuwa mendengar doa saya dan memberikan sokongan yang saya perlukan. Saya mengingat kembali lagu teokratik dan menyanyikannya. Saya dapat mengingati lebih daripada 50 buah lagu dan liriknya.”
Mahkamah membuat keputusan untuk terus memenjarakan Saudara Suvorkov dan saudara-saudara lain sebelum dibicarakan. Semasa minggu pertama di penjara, Saudara Suvorkov menumpukan perhatiannya untuk menolong orang lain. Dia berkata, “Saya akan menyebut nama rakan seiman semasa berdoa. Saya juga menulis surat untuk menggalakkan saudara saudari dan mengirimnya ke alamat yang saya ingat. Semua ini membuat saya bersukacita.”—Kisah 20:35.
Selepas beberapa bulan di penjara, semua saudara menjadi tahanan di rumah kecuali Saudara Andrzej Oniszczuk. Saudara Suvorkov merupakan saudara pertama dari Kirov yang dibebaskan dan tidak lagi ditahan di rumah.
Saudara Suvorkov berkata, “Pengalaman di penjara telah mengajar saya banyak hal. . . . Saya tidak pasti apa yang bakal berlaku dan sama ada saya akan dipenjarakan lagi atau tidak. Namun sekarang saya yakin bahawa Yehuwa dan organisasi-Nya akan menyokong saya, bahkan jika saya di dalam penjara. Saya tidak lagi takut masuk penjara.”