Lompat ke kandungan

Mahkamah Wilayah Kaluga di Rusia

16 OKTOBER 2019
RUSIA

Mahkamah Rayuan Menyatakan bahawa Hakim Rusia Melanggar Prosedur Penghakiman dalam Kes Saudara Kuzin

Mahkamah Rayuan Menyatakan bahawa Hakim Rusia Melanggar Prosedur Penghakiman dalam Kes Saudara Kuzin

Pada 9 September 2019, Hakim Svetlana Anatolyevna Prokofyeva dari Mahkamah Rayuan Wilayah Kaluga menyatakan bahawa Mahkamah Daerah Kaluga melanggar undang-undang kerana telah menahan Saudara Dmitriy Kuzin sebelum perbicaraan.

Keputusan Hakim Prokofyeva sangat penting kerana jarang sekali ada hakim yang bersetuju bahawa mahkamah di Rusia melayan Saksi-Saksi Yehuwa dengan tidak adil. Hakim itu mengkritik mahkamah daerah kerana berkali-kali melanggar undang-undang. Dia mendapati bahawa mahkamah daerah menghina kepercayaan agama Saudara Kuzin dan tidak mengizinkannya untuk membela diri. Hakim Prokofyeva juga berkata, “Mustahil bagi saya untuk mengatakan bahawa hakim [di mahkamah daerah] itu berlaku adil.”

Saudara Dmitriy Kuzin dan isterinya Svetlana, semasa hari perkahwinan mereka pada 2013

Pada 26 Jun 2019, Saudara Kuzin diberkas semasa pegawai dari Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) Kaluga menyerbu rumahnya. Dua hari kemudian, Mahkamah Daerah Kaluga memutuskan untuk menahan Saudara Kuzin selama dua bulan sebelum dibicarakan. Pada 19 Ogos, seorang penyiasat FSB meminta mahkamah yang sama untuk melanjutkan tempoh tahanan Saudara Kuzin selama dua bulan lagi. Mahkamah itu meluluskan permintaan tersebut.

Saudara Kuzin membuat rayuan kepada mahkamah wilayah yang diadili oleh Hakim Prokofyeva. Dia memutuskan bahawa hakim dari mahkamah daerah tersebut telah melanggar prosedur penghakiman, maka dia mengarahkan agar hakim lain mengadili kes Saudara Kuzin di mahkamah daerah. Malangnya, pada 23 September, hakim yang baharu itu juga melanjutkan tempoh penahanan Saudara Kuzin selama dua bulan lagi.

Kita yakin bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang setia dan adil. Dia akan sentiasa menjaga saudara saudari di Rusia yang beriman kepada-Nya.—Ulangan 32:4, 9-11.