Lompat ke kandungan

Saudara Rustam Seidkuliev

20 MEI 2021
RUSIA

Mahkamah Rusia Memenjarakan Saudara Rustam Seidkuliev selama Dua Tahun Setengah

Kali Ketiga Dipenjarakan kerana Imannya

Mahkamah Rusia Memenjarakan Saudara Rustam Seidkuliev selama Dua Tahun Setengah

TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Saudara Rustam Seidkuliev

Pada 5 Ogos 2021, Mahkamah Wilayah Saratov menolak rayuan Saudara Rustam Seidkuliev tetapi mengurangkan hukuman penjaranya daripada 30 bulan kepada 28 bulan. Tidak lama lagi, dia akan dipindahkan ke penjara. Dia sudah ditahan sebelum dibicarakan sejak 20 Mei 2021.

Pada 20 Mei 2021, Mahkamah Daerah Leninskiy di Saratov mensabitkan Saudara Rustam Seidkuliev dan menjatuhkan hukuman penjara atasnya selama dua tahun setengah. Selepas keputusan diumumkan, dia segera ditahan.

Profil

Rustam Seidkuliev

  • Tahun Lahir: 1977 (Ashgabat, Turkmenistan)

  • Biografi: Dibesarkan oleh ibu tunggalnya. Mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada 1993. Ibunya ikut belajar dua tahun kemudian. Sebelum dibaptis, dia dipenjarakan dua kali di Turkmenistan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nuraninya yang dilatih oleh prinsip Bible

    Dia belajar bahawa Bible mengandungi nubuat yang menjadi kenyataan dan nasihat yang bermanfaat. Jadi, dia membaktikan diri dan dibaptis pada 1998. Keluarganya berpindah ke Russia pada 2000 ketika bapa tirinya dibuang negeri ke sana kerana menjadi seorang Saksi Yehuwa

    Pernah bekerja sebagai juruteknik telefon dan pekerja pembinaan. Bertemu dengan bakal isterinya, Yuliya, pada 2001. Mereka gemar berkelah, main boling, dan pingpong. Sejak September 2019, mereka menjadi penjaga utama bagi ibu bapa Rustam

Sejarah Kes

Pada Mac 2019, seorang pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) masuk ke rumah Saudara Rustam Seidkuliev dan isterinya, Yuliya. Pegawai itu menggunakan keretanya untuk menghalang laluan memandu dan menyoal siasat mereka secara berasingan. Kemudian, dia mengeluarkan saman kepada mereka untuk melaporkan diri ke pejabat FSB bagi siasatan yang selanjutnya.

Pada 15 Februari 2020, para pegawai menangkap Rustam dan Yuliya di pusat membeli-belah. Kemudian, Rustam dimasukkan dalam tahanan. Selepas itu, mahkamah tempatan mengarahkan agar Rustam ditahan di rumah. Pada mulanya, dia ditempatkan di rumah perantaraan selama dua bulan, dan ketika itu dia tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan isterinya. Selepas dia dipindahkan ke tahanan rumah sendiri, dia dilarang untuk menggunakan Internet atau cara komunikasi yang lain untuk menghubungi sesiapapun di luar. Masa tahanannya dilanjutkan sebanyak tujuh kali. Rustam telah berada dalam tahanan rumah selama 217 hari.

Rustam menghadapi pelbagai cabaran semasa ditahan di rumah. Ada kalanya dia dibenarkan hanya untuk keluar berjalan dari jam 9:00 pagi hingga 11:00 pagi. Di bawah sekatan yang lain, dia tidak dibenarkan untuk keluar menjaga halaman rumahnya atau membaiki bumbung yang bocor. Rustam mengenang kembali bagaimana dia mengekalkan sikap positif. Dia menjelaskan, “Saya mempunyai lebih banyak masa untuk berdoa dan merenungkan hal rohani kerana ditahan di rumah. Dengan tetap sibuk, dan membuat perancangan harian, saya tidak rasa tawar hati atau marah. Saya tahu terdapat saudara saudari lain yang masih dipenjarakan dan situasi mereka jauh lebih teruk daripada apa yang saya alami.”

Rustam juga mendapat kekuatan daripada pengalaman lalu. Memikirkan semula masa pemenjaraannya di Turkmenistan, dia berkata, “Yehuwa telah banyak kali memberi saya sokongan dahulu, terutamanya ketika saya dalam penjara dan masih muda. Pengalaman itu membantu saya menaruh sepenuh keyakinan terhadap-Nya dan tetap tenang.”

Rustam terus melakukan apa yang terdaya dalam khidmatnya kepada Yehuwa. Dia menambah, “Kita jangan leka untuk menghadiri perjumpaan atau mengabaikan rutin rohani. Jangan biarkan apa-apa pun untuk menyimpangkan perhatian kita kerana masa yang tinggal hanyalah sedikit untuk kita menginjil dan menguatkan rakan seiman. Saya berazam untuk terus sembah Yehuwa dengan sedaya upaya dalam cara yang dibenarkan-Nya, kerana masa yang tinggal sangat terhad.”

Kita memang percaya bahawa Yehuwa akan terus melengkapi saudara saudari kita di Rusia “dengan segala perkara baik yang diperlukan untuk melakukan kehendak-Nya.”—Ibrani 13:21.