19 FEBRUARI 2019
RUSIA
Mahkamah Rusia Menjatuhkan Hukuman Enam Tahun Penjara atas Dennis Christensen
Seperti yang diumumkan pada 6 Februari 2019, Mahkamah Zheleznodorozhniy Daerah Oryol telah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara atas Saudara Dennis Christensen hanya kerana dia mahu menyembah Tuhan. Saudara Christensen sedang membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.
Berita tentang keputusan yang tidak adil ini mendapat perhatian antarabangsa. Banyak organisasi seperti Majlis Eropah, Kesatuan Eropah, Suruhanjaya Amerika Syarikat bagi Kebebasan Beragama Antarabangsa, dan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia, telah mengkritik keputusan Rusia yang tidak adil dan hukuman yang tidak berasas terhadap Saudara Dennis Christensen.
Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet, mengeluarkan pernyataan mengenai keputusan itu. Sebahagian daripada pernyataannya berbunyi, “Hukuman yang begitu berat terhadap Christensen akan menjadi contoh yang sangat bahaya. Kesnya akan digunakan sebagai dasar untuk mengekang kebebasan beragama Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia.” Dia menggesa kerajaan Rusia untuk “meminda Undang-Undang Persekutuan untuk Membanteras Kegiatan Ekstremis dan menjelaskan erti istilah ‘kegiatan ekstremis’ agar tidak disalahgunakan. Menurut dia, erti istilah ‘kegiatan ekstremis’ patut merangkumi kegiatan yang melibatkan keganasan atau kebencian.” Cik Bachelet juga menggesa pihak berkuasa Rusia untuk “membatalkan tuduhan mereka dan membebaskan semua yang ditahan. Hal ini demikian kerana kebebasan untuk beragama, kebebasan untuk memberikan pendapat dan bersuara, dan kebebasan untuk berhimpun secara aman ialah hak asasi manusia.”
Dua hari setelah hukuman dijatuhkan atas Saudara Christensen, empat orang pakar hak asasi manusia yang terkenal di Rusia mengaturkan satu persidangan akhbar di Moscow yang berlangsung selama satu jam. Tempat persidangan itu penuh dengan orang, dan terdapat lebih daripada 6,000 orang yang telah menonton persidangan itu secara langsung menerusi sambungan Internet. Semua pakar itu menyatakan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah orang yang suka akan kedamaian dan mereka bukanlah ancaman bagi masyarakat.
Persidangan akhbar itu juga dihadiri oleh isteri Saudara Christensen, iaitu Saudari Irina; peguamnya, En. Anton Bogdanov; dan seorang wakil daripada Persatuan Eropah Saksi-Saksi Yehuwa, Yaroslav Sivulskiy. Mereka mengeluarkan pernyataan tentang hukuman tidak adil yang dijatuhkan atas Saudara Christensen dan menjawab soalan yang diajukan oleh pihak media.
Meskipun Saudara Christensen telah dipenjarakan selama hampir dua tahun, dia tidak kehilangan sukacitanya dan masih mempunyai iman yang kuat terhadap Tuhan Yehuwa. Beberapa hari sebelum keputusan kesnya diumumkan, iaitu dalam pembelaan terakhirnya di mahkamah, Saudara Christensen berkata, “Pada akhirnya kebenaran akan tersingkap. Saya yakin hal itu akan terbukti benar dalam kes saya.” Selepas membaca ayat di Wahyu 21:3-5, dia berkata dengan penuh keyakinan, “Kata-kata dalam ayat ini . . . menjelaskan bahawa Tuhan akan menegakkan keadilan dan memberi semua orang kebebasan sejati pada masa hadapan. Kebebasan dan keadilan mempunyai kaitan yang sangat rapat. Maka kehendak Tuhan dalam semua hal ini pasti akan menjadi kenyataan.”
Sementara menunggu keputusan rayuannya, Saudara Christensen akan terus ditahan di Pusat Tahanan No. 1 di Wilayah Oryol. Dia sudah ditahan di sana selama 20 bulan.
Marilah kita terus berdoa agar Yehuwa sentiasa menyokong Saudara Dennis Christensen, isterinya, dan semua saudara saudari kita di Rusia.—1 Petrus 3:12.
Video Russian Trial Called ‘A Litmus Test For Religious Freedom’ dibuat oleh media antarabangsa RFE/RL beberapa hari sebelum keputusan kes diumumkan.