Lompat ke kandungan

Saudara Ruslan Alyev dengan isterinya, Kristina, di hadapan mahkamah pada 17 Disember 2020

17 DISEMBER 2020
RUSIA

Mahkamah Rusia Menjatuhkan Hukuman Penjara Tertangguh atas Saudara Ruslan Alyev

Mahkamah Rusia Menjatuhkan Hukuman Penjara Tertangguh atas Saudara Ruslan Alyev

Termasuk ucapan penutupan daripada Saudara Alyev

Pada 17 Disember 2020, Mahkamah Daerah Leninskiy di Rostov-on-Don mensabitkan Saudara Ruslan Alyev dan menjatuhkan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun setengah atasnya. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada hari-hari sebelum keputusan dibuat, Ruslan memperlihatkan “kesejahteraan daripada Tuhan.” (Filipi 4:7) Dia memberitahu sahabat-sahabatnya dengan tenang, “Saya tidak terlalu risau tentang keputusan proses jenayah ini. Semua yang diizinkan Tuhan pasti berada di bawah kawalan-Nya, dan bantuan akan diberikan pada masa yang sesuai. Saya akan sembah Yehuwa tidak kira di mana saya berada.” Ruslan juga tahu bahawa saudara saudari di serata dunia terus berdoa supaya dia bertabah dan tetap setia, dan menurutnya, hal ini membawa “kelegaan hati yang besar.”

Dalam ucapan penutupan Saudara Ruslan pada 14 Disember 2020, dia berkata dengan berani, “Pada abad pertama Masihi, seorang lelaki yang berumur 33 tahun dituduh memberontak terhadap kerajaan dan dihadapkan ke mahkamah. Tetapi menurut catatan, dia dituduh kerana hubungannya dengan Tuhan Yehuwa. Keterangan saksi saling bercanggahan, dan pihak pendakwa tidak dapat membuktikan bahawa dia bersalah. Biarpun begitu, dia masih disabitkan bersalah. Lelaki itu ialah Yesus Kristus.

“Pada abad ke-21, saya, seorang lelaki yang berumur 33 tahun, juga dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memberontak terhadap kerajaan dan mengancam keselamatan negara. . . . Apabila saya mendapat tahu tentang tuduhan-tuduhan yang tidak berasas ini, saya terkejut dan tidak percaya.”

Ruslan juga dituduh membangkitkan kebencian etnik dan agama. Tetapi dia membantah tuduhan-tuduhan ini dengan berkata, “Saya dibesarkan dalam tiga jenis budaya yang berbeza, iaitu budaya Rusia, Azerbaijan, dan Ukraine. Ketiga-tiga budaya ini amat penting bagi saya. . . . Saya ada kawan yang berasal dari negara-negara Afrika yang menuturkan bahasa Inggeris. Saya juga ada kawan yang menuturkan bahasa Cina. . . . Ibu bapa saya ialah orang Azerbaijan. Semua orang tahu bahawa orang Azerbaijan dan orang Armenia saling bermusuhan. Namun, kawan baik saya berbangsa Armenia dan dia ialah saksi perkahwinan saya. Disebabkan oleh agama saya, saya tidak berprasangka terhadap orang yang berlainan bangsa, kaum, agama, dan kedudukan sosial. . . . Jadi, saya dan orang yang mengenali saya sangat terkejut apabila mengetahui bahawa saya dituduh membangkitkan kebencian etnik dan menggalakkan orang untuk bermegah dengan bangsa mereka sendiri.”

Kita sangat digalakkan sewaktu melihat saudara saudari di Rusia memberikan kesaksian dengan berani di mahkamah. Kita yakin bahawa Yehuwa akan memberkati usaha kita untuk mempertahankan kepercayaan kita di hadapan pegawai kerajaan.—Matius 10:18.