Lompat ke kandungan

Saudari Anastasiya Sycheva

22 JANUARI 2021
RUSIA

Mahkamah Rusia Menjatuhkan Hukuman atas Saudari Anastasiya Sycheva kerana Mengambil Bahagian dalam Perjumpaan

Mahkamah Rusia Menjatuhkan Hukuman atas Saudari Anastasiya Sycheva kerana Mengambil Bahagian dalam Perjumpaan

Keputusan Mahkamah

Pada 21 Januari 2021, Mahkamah Daerah Obluchenskiy di Wilayah Autonomi Yahudi mensabitkan Saudari Anastasiya Sycheva. Dia dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun. Jadi, dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Profil

Anastasiya Sycheva

  • Tahun Lahir: 1977 (Teploozyorsk, Wilayah Autonomi Yahudi)

  • Biografi: Mempunyai empat orang adik-beradik, tetapi dua telah meninggal. Lulusan kolej perubatan dengan ijazah kejururawatan. Bekerja di bahagian pergigian dan kemudian di hospital psikiatri. Selepas kakak sulungnya mati, dia bersetuju untuk menjaga dua anak kakaknya yang masih muda. Menjaga ibunya yang sudah lama sakit sehingga dia meninggal

    Semasa Anastasiya masih remaja, dia memikirkan betapa singkatnya hidup manusia. Hal ini mendorongnya mula mempelajari Bible. Dia menemui jawapan yang memuaskan dalam Bible. Dibaptis sebagai seorang Saksi Yehuwa pada 1994

Sejarah Kes

Pada Oktober 2019, nama Anastasiya disenaraikan oleh pihak berkuasa Rusia sebagai “ekstremis.” Pada 25 September 2019, Bahagian Penyiasatan Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) di Birobidzhan, memulakan kes jenayah terhadap Anastasiya. Dia didakwa sengaja meneruskan kegiatan agama organisasi Saksi-Saksi Yehuwa kerana mengambil bahagian dalam perjumpaan dan mengongsi kepercayaannya dengan orang lain.

Semasa perbicaraan mahkamah berlangsung, pihak pendakwa memainkan rakaman audio dan video tentang perbualan telefon Anastasiya dan perjumpaan yang dihadirinya. Pihak pendakwa mengatakan bahawa rakaman tersebut menunjukkan saudari kita terlibat dalam kegiatan “ekstremis.” Anastasiya menggunakan rakaman itu yang kononnya merupakan bukti untuk memberikan kesaksian. Dia menjelaskan bahawa di perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa, orang diajar untuk memupuk belas kasihan, kesabaran, sifat rela mengampuni, dan sifat Kristian yang lain.

Semasa ucapan penutupannya, Anastasiya menjelaskan bagaimana Bible mempengaruhi kehidupannya dalam cara yang baik. Berikut ialah sebahagian daripada ucapannya: “Hari ini, saya dihakimi kerana iman saya, dan kerana saya meneruskan aktiviti agama saya, iaitu membaca Bible, berkumpul dengan kawan untuk membincang Kitab Suci, menyanyi lagu pujian kepada Yehuwa, dan berdoa kepada-Nya.”

“Bagaimana mungkin saya abaikan perintah yang tercatat dalam buku Ibrani, bab 10, ayat 24 dan 25? Saya memetik ayat tersebut: ‘Marilah kita memperhatikan satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik. Janganlah abaikan perjumpaan kita seperti yang biasa dilakukan oleh sesetengah orang. Sebaliknya hendaklah kita menggalakkan satu sama lain, lebih-lebih lagi seraya kamu nampak hari itu semakin mendekat.’ Jika Yehuwa, Tuhan Yang Maha Kuasa, yang menggalakkan saya untuk berjumpa dengan kawan dan saudara saudari Kristian saya, untuk membaca Bible dan menggalakkan satu sama lain serta saling menunjukkan kebaikan hati, bagaimana mungkin saya tidak mematuhi-Nya? Yehuwa ialah Tuhan yang amat saya kasihi, hormati dan layak disembah.”

Kita bersukacita mendengar bagaimana Anastasiya mempertahankan imannya dengan berani. Dia menunjukkan bahawa dia yakin dan bersikap positif. Kita berdoa semoga dia terus bersukacita dan cabaran yang menguji iman ini akan mengukuhkan ketabahannya.—Yakobus 1:2, 3.