Lompat ke kandungan

25 JANUARI 2021
RUSIA

Mahkamah Rusia Menjunjung Keputusan Tidak Bersalah atas Saudara Zalipayev

Mahkamah Rusia Menjunjung Keputusan Tidak Bersalah atas Saudara Zalipayev

Pada 25 Januari 2021, Mahkamah Agung di Republik Kabardino-Balkaria menolak rayuan pihak pendakwa yang dibuat terhadap Saudara Yuriy Zalipayev. Mahkamah Agung menjunjung keputusan asal yang dibuat pada 7 Oktober 2020, yang menyatakan bahawa Yuriy tidak bersalah. Pihak pendakwa boleh memilih untuk membuat rayuan atas keputusan terbaharu ini. Namun, keputusan tidak bersalah kini berkuat kuasa. Yuriy telah dibebaskan daripada semua dakwaan. Dia kini berhak menuntut pampasan atas tuduhan palsu yang dibuat terhadapnya.

Yuriy telah bergantung pada Yehuwa dan menunjukkan keberanian semasa di mahkamah biarpun dia tahu bahawa keputusan tidak bersalah yang diberikan itu mungkin diubah. Sejurus sebelum keputusan itu, Yuriy memberitahu mahkamah dengan berani bagaimana Tuhan akan mengakhiri kejahatan kelak, termasuk penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia. Dia berkata, “Walaupun semua serangan ini nampaknya dirancang dengan teliti, para penganiaya perlu memahami sesuatu. Mereka tidak akan berjaya melemahkan iman saya terhadap janji Tuhan untuk mengakhiri kejahatan di bumi tidak lama lagi. Saya percaya akan janji Tuhan bahawa semua orang daripada pelbagai bangsa, pada akhirnya akan sedar bahawa mereka semuanya saudara saudari. Tiada apa-apa yang sebenarnya membezakan mereka. Bible berkata tentang Tuhan: ‘Dia akan menghakimi bangsa-bangsa dan menyelesaikan perselisihan antara bangsa-bangsa. Mereka akan menempa pedang menjadi bajak dan tombak menjadi pisau pemangkas. Satu bangsa tidak akan mengangkat pedang untuk melawan bangsa yang lain, dan mereka tidak akan belajar berperang lagi.’”—Yesaya 2:4.

“Saya yakin bahawa janji ini akan menjadi kenyataan tidak lama lagi!”