Lompat ke kandungan

23 DISEMBER 2020
RUSIA

Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Saudara Khasan Kogut

Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Saudara Khasan Kogut

Pada 23 Disember 2020, Mahkamah Wilayah Kemerovo menolak rayuan Saudara Khasan Kogut. Pada asalnya, Saudara Khasan dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun setengah. Sekarang hukuman ini mula berkuat kuasa, tetapi dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Meskipun Khasan berasa kecewa kerana hukuman jenayah ini mencemarkan nama baiknya, dia lega hati kerana mengetahui bahawa dia tetap setia dan mempunyai perkenan Yehuwa. Khasan dan isterinya, Yekaterina, bersama anak lelaki mereka, Timofey, yang berumur lapan tahun, bertekad untuk terus menyembah Yehuwa sebagai sebuah keluarga.

Dalam ucapan penutupannya di mahkamah pada 10 September 2020, Khasan berkata dengan berani, “Saya tidak akan menyangkal iman saya terhadap Tuhan Yehuwa, dan saya menganggap usaha untuk memaksa saya berbuat demikian suatu jenayah! Saya yakin bahawa tidak kira apa pun yang berlaku, ‘baik kematian atau kehidupan atau malaikat-malaikat atau kerajaan atau perkara yang ada sekarang atau perkara yang akan datang atau kuasa-kuasa atau ketinggian atau kedalaman atau mana-mana ciptaan lain, tidak dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan.’”—Roma 8:38, 39.