Lompat ke kandungan

Saudara Nikolay Kuzichkin (kiri) dan Vyacheslav Popov (kanan)

18 DISEMBER 2020
RUSIA

Mahkamah Rusia Mensabitkan Saudara Nikolay Kuzichkin dan Vyacheslav Popov

Mahkamah Rusia Mensabitkan Saudara Nikolay Kuzichkin dan Vyacheslav Popov

Keputusan Mahkamah

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Daerah Khostinskiy di Sochi mensabitkan Saudara Nikolay Kuzichkin dan Vyacheslav Popov. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun dan satu bulan untuk Nikolay, dan satu tahun dan sepuluh bulan untuk Vyacheslav. Tetapi memandangkan mereka sudah ditahan sebelum perbicaraan, mereka tidak perlu menjalani tempoh pemenjaraan tambahan. Vyacheslav, yang masih ditahan, dijadualkan untuk dibebaskan sebaik sahaja keputusan itu berkuat kuasa. Nikolay telah pun dibebaskan daripada ditahan di rumah.

Profil

Nikolay Kuzichkin

  • Tahun Lahir: 1951 (Kawasan Kostroma)

  • Biografi: Selepas menamatkan pengajian di sekolah muzik, dia bekerja sebagai penalar piano. Dia dan isterinya, Olga, mempunyai tiga orang anak lelaki. Dia juga seorang penjaga lebah yang mahir

    Mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada awal tahun 1990-an. Dia nampak nubuat Bible sedang menjadi kenyataan, maka dia tergerak untuk membaktikan diri dan dibaptis pada tahun 1993

Vyacheslav Popov

  • Tahun Lahir: 1974 (Tomsk)

  • Biografi: Mempunyai bakat seni sejak kecil, dan bekerja sebagai pereka hiasan dalaman. Berjumpa dengan isterinya, Yuliya, semasa di kolej. Berkahwin pada tahun 1998 dan mempunyai seorang anak perempuan dan dua orang anak lelaki. Berpindah ke Sochi pada tahun 2010. Mereka sekeluarga suka bermain ski dan bercuti di tepi pantai

    Yuliya yang terlebih dahulu belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Vyacheslav pula mendapat kelegaan hati daripada Bible selepas bapanya meninggal, dan dia dibaptis pada tahun 2004

Sejarah Kes

Pada petang 10 Oktober 2019, sekumpulan polis rahsia yang membawa senjata dan anjing menyerbu 36 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Sochi, Rusia.

Tidak kira tua atau muda, para Saksi diarahkan untuk meniarap di lantai sewaktu rumah mereka digeledah. Telefon bimbit, komputer tablet, komputer, bahan bacaan, buku nota dan bahkan poskad mereka dirampas. Ada juga polis yang meletakkan bukti palsu, seperti bahan bacaan yang diharamkan, di rumah Saksi. Akibatnya, Saudara Nikolay Kuzichkin dan Vyacheslav Popov ditangkap. Pada hari berikutnya, kedua-dua saudara ini ditahan sebelum perbicaraan.

Nikolay mempunyai masalah kesihatan yang serius dan memerlukan rawatan. Biarpun begitu, pihak mahkamah berulang kali menolak permohonannya dengan alasan bahawa masalah kesihatannya tidak termasuk dalam “senarai penyakit yang mengecualikan seseorang daripada dipenjarakan.” Tambahan lagi, Nikolay dimasukkan ke dalam bilik penjara yang sesak dengan banduan yang merokok. Hal ini memburukkan lagi kesihatannya.

Biarpun begitu, Nikolay berkata, “Penjara seperti mesin X-ray yang mendedahkan sama ada seseorang memiliki sifat-sifat Kristian atau tidak.” Meskipun keadaan penjara amat teruk dan kesihatannya semakin merosot, Nikolay tidak berfokus kepada diri sendiri. Sebaliknya, dia berusaha untuk membantu banduan lain yang kemurungan dan ingin membunuh diri. Di penjara, dia dikenali sebagai seorang lelaki yang suka berdamai dan baik hati.

Tempoh penahanan Nikolay dilanjutkan sebanyak enam kali. Pada 22 April 2020, pihak mahkamah mengarahkan agar dia dipindahkan dari pusat tahanan dan ditahan di rumahnya sendiri. Dia sangat lemah dan hampir tidak dapat berdiri. Pada waktu itu, barulah Nikolay dibenarkan untuk menjalani rawatan.

Tempoh penahanan Vyacheslav pula dilanjutkan sebanyak 14 kali. Sudah lebih daripada setahun dia berpisah dengan keluarganya.

Nikolay dan Vyacheslav beriman kepada Yehuwa dan bertekad untuk menjunjung kedaulatan-Nya. Teladan baik mereka patut dicontohi. Mereka hidup selaras dengan kata-kata di Mazmur 16:8: “Ya Yehuwa, aku sentiasa melihat Engkau di hadapanku. Engkau ada di sebelah kananku, maka aku tidak akan sekali-kali goyah.”