11 NOVEMBER 2019
RUSIA
Mahkamah di Rusia Menjatuhkan Hukuman Penjara Selama Enam Tahun terhadap Saudara Klimov, Hukuman yang Paling Berat Sejak Tahun 2017
TERKINI | Mahkamah Kasasi Rusia Menolak Rayuan
Pada 27 Januari 2022, Mahkamah Kasasi Bidang Kuasa Am yang Kelapan menolak rayuan Saudara Sergey Klimov. Dia tetap dipenjarakan.
Pada 5 November 2019, Mahkamah Daerah Oktyabrsky di Tomsk menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun terhadap Saudara Sergey Klimov. Sebelum ini, Saudara Dennis Christensen sahajalah yang dijatuhkan hukuman penjara untuk tempoh yang sama. Namun, mahkamah turut mengenakan beberapa sekatan tambahan terhadap Saudara Klimov, dan hukuman ini adalah yang paling berat sejak Saksi-Saksi Yehuwa diharamkan oleh Mahkamah Agung pada tahun 2017.
Saudara Klimov ditangkap pada 3 Jun 2018, setelah pihak penguat kuasa, termasuk pasukan gerak khas menyerbu dua buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa. Seramai 30 saudara saudari, termasuk seorang saudari yang berumur 83 tahun telah ditahan untuk disoal siasat. Semuanya kecuali Saudara Klimov telah dibebaskan kemudian. Dia telah didakwa melakukan jenayah dan ditahan reman selama dua bulan atas perintah mahkamah. Tempoh remannya dilanjutkan sebanyak tujuh kali. Hal ini bererti sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun, dia telah dipenjarakan dan dipisahkan daripada isteri dan keluarganya untuk setahun lima bulan.
Peguam bagi Saudara Klimov akan merayu tentang hukuman ini. Selain itu, pada 20 Ogos 2018, aduan tentang penahanan sebelum dibicarakan, Klimov v. Russia, telah dibuat di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.
Sepanjang tahun 2019, aktiviti untuk menyerbu, menangkap, dan menahan saudara-saudari kita semakin meningkat di Rusia. Namun, saudara saudari kita tetap teguh dan berani. Jelaslah Yehuwa sedang memberkati saudara saudari kita yang bergantung pada-Nya, dan hal ini sungguh menggalakkan kita.—Mazmur 56:1-5, 9.