21 DISEMBER 2022
RUSIA
Majlis Eropah Menggesa Rusia agar Membatalkan Pengharaman terhadap Saksi-Saksi Yehuwa
Dalam surat yang bertarikh 9 Disember 2022 kepada Menteri Luar Negeri Rusia, Setiausaha Agung Majlis Eropah menggesa Rusia agar mematuhi keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) yang dibuat baru-baru ini. Keputusan ini merangkumi keputusan ECHR pada Jun 2022, yang menyatakan bahawa pengharaman Rusia terhadap Saksi-Saksi Yehuwa adalah tidak sah di sisi undang-undang. a
Dalam surat itu, Rusia diingatkan bahawa walaupun Rusia bukan lagi ahli Majlis Eropah (COE) sejak Mac 2022, kerajaan Rusia masih diwajibkan mematuhi keputusan ECHR yang dibuat sehingga 16 September 2022. Jawatankuasa Menteri-Menteri Majlis Eropah akan memastikan agar keputusan ECHR dilaksanakan.
Sejak penghakiman Jun 2022, Jawatankuasa itu menggesa Rusia untuk membatalkan keputusan Mahkamah Agung pada tahun 2017 yang mengharamkan aktiviti agama Saksi-Saksi Yehuwa. Jawatankuasa itu juga meminta Rusia “untuk memeriksa semula undang-undang anti-ekstremis yang menyatakan bahawa organisasi Saksi-Saksi Yehuwa ialah ekstremis . . . ; untuk menghentikan semua siasatan dan perbicaraan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa, membebaskan mereka yang dipenjarakan serta menghapuskan rekod jenayah mereka, dan mengembalikan semua harta milik para Saksi yang dirampas atau membayar ganti rugi.” b
Sehingga kini, keputusan Mahkamah Agung Rusia telah menyebabkan banyak masalah bagi lebih daripada 660 orang saudara saudari kita yang mengamalkan kepercayaan mereka dalam cara yang damai. Antara mereka, lebih daripada 360 orang telah dipenjarakan, dan 114 orang kini berada dalam penjara atau sedang ditahan sebelum perbicaraan.
Lebih daripada 450 orang saudara saudari telah disenaraikan oleh persekutuan Rusia sebagai ekstremis dan pengganas. Hal ini menyusahkan kehidupan mereka dan keluarga mereka. Memandangkan senarai ekstremis dan pengganas itu dapat dilihat oleh sesiapa sahaja, saudara saudari kita dipandang buruk, dan ramai daripada mereka susah mencari pekerjaan. Selain itu, akaun bank mereka dibekukan, mereka susah membeli atau membaharui insurans, menjual harta, mewarisi harta, mengurus pelaburan, atau bahkan membeli kad SIM untuk telefon mereka.
Kita gembira mendapat tahu bahawa COE terus cuba menegakkan keadilan bagi saudara saudari kita di Rusia. Pada masa yang sama, persaudaraan sedunia kita terus digalakkan menerusi laporan di jw.org tentang bagaimana Yehuwa membantu saudara saudari di Rusia agar terus beriman, berani, dan bersukacita.—Filipi 1:12-14.
a Lihat perenggan tiga dan lima dalam H46-33 Jehovah’s Witnesses of Moscow and Others (Application No. 302/02) dan Krupko and Others (Application No. 26587/07) lwn. Russian Federation.
b Lihat perenggan empat dalam H46-33 Jehovah’s Witnesses of Moscow and Others (Application No. 302/02) dan Krupko and Others (Application No. 26587/07) lwn. Russian Federation.