Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan, baris atas: Saudara Aleksey Budenchuk, Dennis Christensen, Gennadiy German, dan Roman Gridasov. Baris bawah: Saudara Vadim Kutsenko, Feliks Makhammadiyev, dan Aleksey Miretskiy

6 NOVEMBER 2020
RUSIA

Organisasi Antarabangsa Membantah Penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia

Organisasi Antarabangsa Membantah Penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia

“Perbuatan ini ialah salah laksana keadilan yang teruk.”—Gayle Manchin, Pengerusi USCIRF

Para pegawai dari Eropah dan Amerika Syarikat meneruskan usaha untuk membantah penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia.

Suruhanjaya Amerika Syarikat bagi Kebebasan Beragama Antarabangsa (USCIRF)

“USCIRF terkejut dengan layanan buruk yang diterima oleh Dennis Christensen daripada kerajaan Rusia,” kata Pengerusi Gayle Manchin, semasa memberikan kenyataan pada 27 Oktober 2020. “Kerajaan Rusia menunjukkan dengan jelas bahawa mereka membenci lelaki yang tidak bersalah ini, kerana dia mengamalkan agamanya secara aman. Kerajaan Rusia tidak menunjukkan belas kasihan dan melayannya seperti penjenayah yang berbahaya. Perbuatan ini ialah salah laksana keadilan yang teruk.”

Pengerusi Manchin menyokong kes Saudara Christensen menerusi projek USCIRF, iaitu Religious Prisoners of Conscience Project. USCIRF berkali-kali membantah hukuman penjara enam tahun Saudara Christensen.

USCIRF juga membantah tindakan Rusia yang menghalang pembebasan awal Saudara Christensen. USCIRF melaporkan bahawa dia “diberikan parol pada 23 Jun [2020], tetapi keputusan itu dicabar oleh peguam negara. Jadi Saudara Christensen tidak dibebaskan, malah dia dimasukkan ke dalam sebuah bilik penjara yang tiada peredaran udara kerana didakwa melanggar peraturan penjara.”

USCIRF mengakhiri kenyataan mereka dengan merujuk kepada Laporan Tahunan 2020 USCIRF. Laporan itu membantah tindakan kerajaan Rusia yang “mencabuli hak kebebasan beragama secara sistematik dan berterusan.” Laporan itu juga menyarankan agar kerajaan A.S. menghukum Rusia dengan memasukkannya ke dalam senarai “negara yang paling dibimbangi.”

Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Tambahan lagi, lapan orang pegawai berpangkat tinggi yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menulis surat kepada Perwakilan Tetap Persekutuan Rusia ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam surat itu, mereka menyatakan bahawa mereka terkejut dengan “tindakan Persekutuan Rusia yang terus-menerus menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa, membubarkan Pusat Pentadbiran Saksi-Saksi Yehuwa di St. Petersburg, dan mengharamkan aktiviti keagamaan bagi kesemua 395 buah organisasi tempatan Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh Rusia.” Para pegawai itu juga mengutuk tindakan Rusia yang tidak mempedulikan permintaan komuniti antarabangsa untuk menghentikan penganiayaan ini.

Para pegawai PBB menjelaskan bahawa Rusia mempunyai undang-undang membanteras ekstremis yang kurang jelas. Kerajaan Rusia menggunakan undang-undang ini untuk “melarang aktiviti keagamaan Saksi-Saksi Yehuwa, menakutkan mereka, menceroboh privasi mereka menerusi gangguan polis dan penggeledahan rumah, menyoal siasat, dan kadangkala menuduh lalu memenjarakan mereka.”

Para pegawai itu menegaskan bahawa “hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk mengamalkan agama mereka dilindungi oleh perkara 18 (1) dalam ICCPR.” a Maka mereka meminta Persekutuan Rusia “untuk memastikan bahawa Undang-Undang Persekutuan untuk Membanteras Kegiatan Ekstremis 2002 tidak mencabuli hak perlembagaan individu untuk mempunyai kebebasan berfikir, kebebasan untuk mengikut hati nurani, dan kebebasan beragama atau berkepercayaan.”

Surat itu juga mendedahkan layanan kejam yang diterima oleh saudara saudari kita. Contohnya, surat itu menyebut tentang lima orang Saksi dari Saratov yang dibelasah pada 6 Februari 2020. Surat itu menjelaskan, “Saksi-Saksi Yehuwa yang ditahan selalunya mengalami keadaan yang teruk, menerima layanan yang buruk, dan mengalami penderaan fizikal dan mental yang boleh dianggap sebagai seksaan, kerana kepercayaan mereka.”

Surat itu juga menyebut tentang satu lagi contoh penganiayaan, iaitu Saudara Vadim Kutsenko yang diseksa oleh pegawai Rusia pada 10 Februari 2020. Pihak berkuasa Rusia menafikan kejadian ini. Tetapi, pihak PBB tidak mempercayai mereka. PBB masih “memandang serius penindasan Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh Rusia kerana kerajaan Rusia terus menganggap kegiatan aman mereka sebagai aktiviti jenayah.”

Jawatankuasa Menteri-Menteri Majlis Eropah

Selepas Rusia mengharamkan dan menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 2017, Jawatankuasa Menteri-Menteri Majlis Eropah b telah mempergiatkan pemantauan mereka terhadap Rusia. Mereka ingin memastikan bahawa Rusia mematuhi dua keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah. Mahkamah itu mendapati bahawa Rusia bersalah kerana mencabuli hak Saksi-Saksi Yehuwa. c Maka, jawatankuasa itu membuat keputusan pada 1 Oktober 2020, yang menyatakan bahawa mereka “risau tentang larangan yang dikenakan ke atas Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 2017 dan laporan yang mengejutkan daripada beberapa sumber . . . bahawa disebabkan larangan ini, Saksi-Saksi Yehuwa ditangkap, disabitkan bersalah, dan dipenjarakan hanya kerana mengamalkan agama mereka dengan aman.”

Oleh itu, jawatankuasa itu mencadangkan agar Rusia mencari jalan untuk meminda “undang-undang membanteras ekstremis yang ada sekarang kerana undang-undang ini digunakan untuk mengharamkan dan mensabitkan bersalah Saksi-Saksi Yehuwa.” Selain itu, Rusia patut “membatalkan larangan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa dan tidak lagi memandang kegiatan agama mereka yang aman sebagai aktiviti jenayah.” Mereka akan memeriksa sama ada Rusia telah membuat perubahan ini pada tahun 2021.

Sejak tahun 2017, lebih daripada 400 orang saudara saudari kita di Rusia dan Crimea telah didakwa melakukan aktiviti ekstremis. Lebih daripada 210 orang Saksi-Saksi Yehuwa telah dipenjarakan di lebih daripada 70 buah kota di Rusia.

“Kita akan menyeru nama Yehuwa, Tuhan kita” untuk terus membantu saudara saudari kita agar mereka dapat bertabah dan bersabar.—Mazmur 20:2, 7.