Lompat ke kandungan

Dr. Sergey Igorevich Ivanenko, seorang pakar agama dan penasihat Persekutuan Rusia

18 OKTOBER 2019
RUSIA

Pakar Agama di Rusia Memberi Keterangan untuk Membela Saksi-Saksi Yehuwa di Saratov

Pakar Agama di Rusia Memberi Keterangan untuk Membela Saksi-Saksi Yehuwa di Saratov

Pada 4 September 2019, semasa perbicaraan kes enam Saksi-Saksi Yehuwa di Saratov, seorang pakar agama yang terkenal dan penasihat Persekutuan Rusia, iaitu Sergey Igorevich Ivanenko, telah dijemput untuk mengangkat sumpah dan memberi keterangan untuk membela Saksi-Saksi Yehuwa. Dr. Ivanenko telah mengarang dua karya yang menyentuh tentang Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia. Hasil kerjanya diiktiraf oleh para pakar. Berikut ialah sebahagian daripada keterangannya di mahkamah:

Penyembahan dan kehidupan Saksi-Saksi Yehuwa. “Ada satu hal yang menjadikan Saksi-Saksi Yehuwa istimewa: Mereka tidak bergantung pada mana-mana manusia untuk membuat keputusan dalam hidup. Mereka juga tidak memerlukan peraturan khas untuk mengawal kelakuan mereka. Sebaliknya, Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan Bible sebagai panduan hidup dan menggunakan hati nurani yang terlatih untuk membuat keputusan sendiri.

“Saksi-Saksi Yehuwa berusaha untuk hidup selaras dengan prinsip Bible yang dinyatakan oleh Yesus Kristus dan murid-muridnya pada abad pertama.

“Saksi-Saksi Yehuwa memperlihatkan kepercayaan kepada Tuhan dengan mempelajari Bible, menjawab pertanyaan tentang ajaran Bible, dan menyanyikan lagu-lagu yang juga berdasarkan ayat Bible. Jelaslah bahawa mereka berusaha sedaya upaya untuk melakukan segalanya menurut ajaran Bible.

“Mereka juga percaya bahawa orang Kristian harus berkumpul sebagai sebuah sidang. Saksi-Saksi Yehuwa membuat kesimpulan itu setelah mengkaji Perjanjian Baharu, keterangan tentang Yesus Kristus dan murid-muridnya, teladan para pengikutnya, dan perkembangan awal sidang Kristian. . . . Saksi-Saksi Yehuwa percaya bahawa mereka harus menjadi sebahagian daripada sidang untuk menyembah Tuhan.

“Mereka mengajarkan bahawa murid-murid Yesus Kristus akan dikenali melalui kasih terhadap satu sama lain.”

Aktiviti penyebaran Saksi-Saksi Yehuwa. “Saksi-Saksi Yehuwa juga dikenali umum kerana giat menginjil. Saya rasa Saksi-Saksi Yehuwa menginjil dengan lebih aktif dan bersemangat berbanding agama-agama lain. Setiap Saksi harus meluangkan masa untuk kerja penyebaran.

“Mereka biasanya kata, ‘Inilah yang dikatakan dalam Bible.’ Pendengar boleh buka Bible dan periksanya sendiri. Jika dia bersetuju, dia boleh jadi Saksi. Jika dia tidak bersetuju, dia tidak perlu jadi Saksi. Tiada sesiapa pun yang dipaksa untuk mengubah agama mereka.”

Tuduhan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah ekstremis. “Pada mulanya, beberapa bahan terbitan Saksi-Saksi Yehuwa disebut ekstremis. Menurut dakwaan pakar, isi kandungannya menyatakan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah satu-satunya agama yang benar dan semua agama lain adalah palsu. Tetapi sebenarnya, agama lain juga menyatakan hal yang sama. Namun hanya Saksi-Saksi Yehuwa yang dituduh sebagai ekstremis. Mereka dituduh menyebarkan propaganda kerana menyatakan bahawa agama mereka ialah satu-satunya agama yang benar, dan agama lain adalah palsu.

“Sebagai pakar dalam hal agama, saya rasa [keputusan mahkamah itu] salah. Sebenarnya, semua agama juga mengatakan bahawa hanya agama merekalah yang benar dan agama lain adalah salah atau sesat.

“Semua orang yang beragama pasti percaya bahawa agama mereka sahaja yang benar, dan agama lain memang palsu atau sebahagian ajarannya adalah salah. Seseorang yang tidak mengakui hal itu memang munafik.

“Namun, Saksi-Saksi Yehuwa berusaha sedaya upaya untuk mentaati undang-undang negara, selagi undang-undang itu tidak bercanggahan dengan hukum Tuhan. Mereka benar-benar bersikap jujur. Hal ini terbukti benar kerana terdapat banyak laporan tentang Saksi-Saksi Yehuwa yang mengembalikan dompet yang hilang, dan membayar denda atau cukai dengan jujur walaupun mereka boleh mengelak daripada berbuat demikian. Mereka bukan ekstremis atau berpura-pura berbuat baik.”

Saksi-Saksi Yehuwa dan Bible. “Sesuatu yang unik tentang Saksi-Saksi Yehuwa ialah mereka menggunakan pelbagai terjemahan Bible semasa pembelajaran dan menginjil. Mereka bekerja keras agar Bible dapat dihasilkan dalam pelbagai bahasa. Jadi, mereka boleh dikatakan berbeza daripada agama yang lain kerana kegiatan mereka bertumpu sepenuhnya pada Bible. Terjemahan Bible mereka dianggap ekstremis di sini . . . Mungkin pihak yang membuat keputusan itu berpendapat bahawa Saksi-Saksi Yehuwa hanya menggunakan Bible terjemahan mereka dan akan berhenti beribadat sekiranya terjemahan itu diharamkan. Andaian itu salah sama sekali. Sebenarnya, Saksi-Saksi Yehuwa menghargai setiap terjemahan Bible.”

Saksi-Saksi Yehuwa dan badan berkanun organisasi mereka. “Keputusan Mahkamah Agung Persekutuan Rusia menunjukkan bahawa . . . kebanyakan sidang Saksi-Saksi Yehuwa tidak mempunyai badan berkanun . . . Jadi, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa setiap Saksi-Saksi Yehuwa di suatu tempat menganggotai badan berkanun tertentu.

“Berkaitan dengan badan berkanun mereka . . . , saya telah meneliti dokumen-dokumen perundangan mereka. Dokumen tersebut tidak menyebut tentang istilah-istilah seperti penyelia, penatua, atau perintis. Yang disebut hanya para pengasasnya yang terdiri daripada kira-kira 10 orang. Mereka mengurus hal yang berkaitan dengan undang-undang, dan bukannya berkaitan dengan agama. Mereka tidak dianggap istimewa dalam sidang dan tidak membuat keputusan tentang penyembahan Saksi-Saksi Yehuwa. . . . Kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa tetap sama di negara atau daerah mana pun.

“Saksi-Saksi Yehuwa mengetahui [keputusan Mahkamah Agung yang hanya membubarkan badan berkanun mereka] dan mereka berusaha untuk tidak melanggar keputusan itu. Pada masa yang sama, mereka meneruskan kegiatan mereka kerana agama mereka memang tidak diharamkan oleh kerajaan. Mereka meneruskan kegiatan penyembahan mereka secara peribadi. Menurut pandangan mereka dan menurut pendapat saya, sebagai pakar agama, kegiatan mereka tidak melanggar keputusan Mahkamah Agung itu.”

Saksi-Saksi Yehuwa dan transfusi darah. “Bible menyatakan bahawa ‘nyawa terkandung dalam darah.’ Jadi, darah tidak boleh dimakan. Konteks ayat itu adalah berkenaan makanan yang dilarang. Tetapi bagi Saksi-Saksi Yehuwa, larangan itu lebih luas. Mereka percaya bahawa darah tidak boleh digunakan dalam apa jua bentuk, seperti makanan (mereka tidak makan sosej darah) atau transfusi darah. Namun, mereka masing-masing harus membuat keputusan sama ada mahu menerima pecahan kecil darah atau tidak . . . Walaupun mereka tidak menerima transfusi darah, itu tidak bermakna mereka memilih untuk mati. Mereka mahu mendapatkan rawatan perubatan yang terbaik. Menurut pendapat mereka dan pendapat ramai doktor, transfusi darah memang berisiko kerana penerima darah boleh dijangkiti AIDS atau penyakit lain. Pembedahan akan lebih selamat jika dilakukan tanpa transfusi darah. Saya sudah periksa statistik yang berkaitan dengan hal ini. Nampaknya, orang kaya sering kali tidak mahu diberi transfusi darah untuk mengelak daripada risiko jangkitan dan komplikasi.”

Saksi-Saksi Yehuwa dan sumbangan. “Seseorang boleh memilih untuk tidak memberikan sumbangan. Dia bahkan boleh menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa seumur hidupnya dan tidak menyumbangkan satu dolar atau satu ruble pun. Terpulanglah kepada setiap orang sama ada dia ingin berikan sumbangan atau tidak.”

Walaupun Dr. Ivanenko telah memberi keterangan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah orang Kristian yang jujur dan mematuhi undang-undang, keterangannya diabaikan. Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara dengan jangka masa yang berlainan ke atas enam orang saudara.

Walaupun kerajaan Rusia terus melontarkan tuduhan palsu terhadap saudara saudari kita dan memenjarakan mereka dengan tidak adil, kita tetap berdoa agar Yehuwa memberkati rakan seiman kita yang berani dan setia. Semoga mereka bersukacita kerana mengetahui bahawa mereka menyenangkan hati Yehuwa.—Mazmur 109:2-4, 28.