23 JUN 2021
RUSIA
Para Isteri Saudara yang Dipenjarakan di Rusia Bergantung pada Yehuwa untuk Menangani Cabaran Unik
Semasa para saudara di Rusia yang merupakan suami dan bapa dipenjarakan kerana iman mereka, keluarga mereka juga harus menangani banyak cabaran. Tidak mudah bagi isteri dan anak-anak mereka untuk terpisah daripada mereka, di samping menghadapi masalah sendiri. Sepuluh isteri para saudara yang dipenjarakan telah menandatangani surat terbuka yang ditujukan kepada pihak berkuasa Rusia. Surat itu menggambarkan perasaan pilu mereka dengan jelas. Mereka menulis, “Surat terbuka ini merupakan seruan minta tolong daripada kami. Orang yang kami kasihi . . . telah dibuang ke penjara semata-mata kerana membaca Bible dan berdoa kepada Tuhan bersama kami, anak-anak kami, dan kawan-kawan kami.”
Beberapa saudari yang dikasihi menjelaskan cabaran unik mereka, serta bagaimana Yehuwa membantu mereka menangani masalah yang dihadapi kerana suami mereka dipenjarakan.
Komunikasi dan Lawatan
Ramai saudari tidak dapat berkomunikasi dengan suami mereka menerusi telefon disebabkan oleh masalah teknikal. Tambahan pula, surat yang dikirim ke penjara memakan masa yang sangat lama untuk sampai ke tangan suami mereka. Kadangkala, surat itu tidak sampai sama sekali.
Feliks Makhammadiyev, suami Saudari Yevgeniya Lagunova, telah dipenjarakan lebih daripada dua tahun. Ada masanya, dia langsung tidak menerima sebarang surat daripada suaminya untuk waktu yang lama. Yevgeniya berkata bahawa dia berasa amat susah kerana tidak mengetahui sama ada Feliks sihat, dan sama ada Feliks berasa dilupakan kerana tidak menerima suratnya.
Ramai isteri perlu membuat perjalanan jauh untuk melawat suami mereka. (Lihat carta “Jarak Perjalanan bagi Isteri untuk Melawat Suami.”) Misalnya, Yevgeniya menjelaskan, “Saya memandu sejauh 800 kilometer untuk melawat suami saya di penjara.” Secara purata, dia perlu membuat perjalanan selama tiga hingga empat hari untuk melawat suaminya dan kemudiannya pulang. Ada saudari pula perlu memandu sejauh 1,000 kilometer. Sebaik sahaja saudari-saudari tiba di penjara, mereka perlu menunggu di luar dalam barisan yang panjang.
Dennis, suami Saudari Irina Christensen, merupakan Saksi pertama yang dipenjarakan di Rusia selepas organisasi kita diharamkan pada 2017. Saudari Irina sering membuat perjalanan sejauh 200 kilometer dari rumahnya di Oryol untuk melawat Dennis yang dipenjarakan di Lgov. Dia berkata, “Memang susah secara fizikal dan emosi untuk pergi ke penjara. Saya harus bertolak pada 3:30 pagi agar dapat tiba di penjara sebelum 8:00 pagi untuk menyerahkan dokumen yang berkaitan. Kemudian, saya harus tunggu dalam kereta sehingga 11:00 pagi apabila lawatan mula dibenarkan.” Semasa ditanya bagaimana dia bertabah, Irina berkata, “Saya banyak berdoa kepada Yehuwa. Saya memohon-Nya untuk menyokong saya dan rakan seiman yang berdekatan, yang berada dalam penjara, dan yang berada di serata dunia.”
Kesunyian
Saudari Nadezhda German telah dipisahkan daripada suaminya, Gennadiy, selama lebih daripada dua tahun. Seperti isteri lain dalam situasinya, Nadezhda perlu berdepan dengan kesunyian akibat dipisahkan daripada pasangannya. Namun, dia menerangkan, “Sidang saya menjadi semakin rapat dengan saya sebagai keluarga saya. Kasih dan keprihatinan mereka yang ikhlas terhadap saya dan suami adalah amat ketara.”
Aleksey, suami Saudari Yuliya Miretskaya, dipenjarakan bersama Gennadiy. Yuliya berkata, “Saudara saudari membantu saya untuk melakukan kerja rumah. Saya berasa dilegakan kerana tahu bahawa saya boleh bergantung pada bantuan mereka.”
Membesarkan Anak
Saudari Tatyana Budenchuk sedang menjaga dua orang anaknya tanpa suaminya, Aleksey, yang dipenjarakan sejak September 2019. Dia menjelaskan, “Anak-anak saya cuba bertumpu pada berkat-berkat kami, apa yang diberi Yehuwa, serta sokongan Yehuwa. Mereka tahu bahawa cubaan ini hanyalah sementara, dan sekaranglah masanya untuk menunjukkan iman dan kesetiaan kepada Yehuwa.”
Sergey Filatov, suami Saudari Natalya Filatova, dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun pada Mac 2020. Natalya kini membesarkan empat orang anak seorang diri. Berkenaan mereka, dia berkata, “Saya lihat bahawa mereka rindu bapa mereka dan risau sama ada dia sihat dan selamat. Mereka memberitahu Yehuwa tentang ini dalam doa mereka. Anak perempuan bongsu saya menulis surat kepada ayahnya Sergey, dan meyakinkannya bahawa keadaan kami baik dan tidak perlu dirisaukan. Tetapi semuanya akan menjadi lebih baik semasa dia balik ke pangkuan kami.”
Keluarga mereka berusaha menerapkan nasihat Bible untuk hidup sederhana. Natalya berkata, “Kami telah belajar untuk hidup berjimat cermat. Apa yang kami ada cukup untuk menampung kos kehidupan dan keperluan lain.”
Mengekalkan Pandangan Rohani
Biarpun menghadapi semua cabaran ini, saudari kita mengekalkan iman mereka dengan terus menyembah Yehuwa secara tetap. Yuliya menjelaskan, “Saya cuba baca semua bahan bacaan terkini. Saya merasa seperti sedang melakukannya untuk dua orang, kerana apabila saya bercakap dengan Aleksey, saya cuba mengingat kembali dan berkongsi isi-isi utama dengannya.” Nadezhda memberi penekanan, “Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan bantuan Yehuwa! Saya berasa dekat dengan Yehuwa sepanjang hari. Saya merasa seperti seorang gadis kecil dalam dakapan Bapa saya yang maha kuasa! Dan semasa membantu orang lain, saya sedang membantu diri sendiri.”
Natalya menceritakan, “Saya ingat seorang saudari yang berkata, ‘Tiada sesiapa antara umat Tuhan yang tidak memerlukan kelegaan hati. Tapi pada masa yang sama, tiada sesiapa pun yang tidak dapat melegakan hati orang lain.’ Saya juga merasakan kepuasan hati semasa dapat menggalakkan atau melegakan orang lain.” Natalya menambah, “Saya cuba untuk tidak mengasihani diri atau menjadi murung, walaupun adalah susah secara emosi dan fizikal untuk berseorangan tanpa suami saya. Saya tidak mahu memberi Syaitan peluang untuk membuat saya tawar hati!”
Persaudaraan sedunia kita menyanjung tinggi kesetiaan dan ketabahan yang ditunjukkan oleh ahli keluarga saudara saudari yang dipenjarakan di Rusia dan tempat lain. Kita tahu bahawa mereka yang dikasihi ini sememangnya ‘berharga di mata Tuhan.’—Yesaya 43:4a.