Lompat ke kandungan

Kiri ke kanan: Saudara Aleksey Budenchuk, Aleksey Miretskiy, Feliks Makhammadiyev, Gennadiy German, dan Roman Gridasov

24 FEBRUARI 2020
RUSIA

Para Saudara Membantu Rakan Seiman yang Dipukul dalam Penjara di Rusia

Para Saudara Membantu Rakan Seiman yang Dipukul dalam Penjara di Rusia

Setelah mendengar berita tentang lima orang saudara yang dipenjarakan di Orenburg, Rusia, dipukul dengan teruk, para saudara di bandar itu bergegas ke sana untuk memberikan bantuan. Saudara-saudara yang dipenjarakan ialah Aleksey Budenchuk, Gennadiy German, Roman Gridasov, Feliks Makhammadiyev, dan Aleksey Miretskiy. Mereka berasal dari Saratov, kira-kira 800 km dari Orenburg.

Saudara Feliks Makhammadiyev tersenyum lebar sekitar dua minggu selepas dipukul dengan teruk oleh pengawal penjara. Dia memakai jaket yang menutupi luka pada tubuhnya

Pada 15 Februari 2020, berita Internet menyatakan bahawa pengawal penjara di Orenburg telah memukul lima orang saudara kita dari Saratov dengan belantan. Selepas membaca berita itu, sekumpulan saudara dan saudari tempatan telah pergi ke penjara itu. Mereka menyatakan bahawa mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka sangat berani kerana rela menggadaikan kebebasan sendiri demi menyokong saudara mereka. Kemudian, mereka meminta maklumat berkenaan keadaan kelima-lima saudara itu. Memandangkan laporan berita menyatakan bahawa Saudara Makhammadiyev mengalami kecederaan yang paling teruk dan dimasukkan ke hospital, para saudara menuntut pengesahan bahawa saudara kita masih hidup. Perbualan mereka dengan para pegawai telah berlanjutan selama kira-kira dua jam.

Para saudara di Orenburg juga membuat aturan agar sekumpulan saudara saudari terus memberikan bantuan untuk para saudara yang dipenjarakan, isteri mereka, dan peguam mereka. Saudara saudari di Orenburg sering menulis surat untuk menggalakkan para saudara di penjara. Saudara saudari bahkan menyumbangkan wang agar dapat memperoleh makanan yang lebih berkhasiat untuk para saudara yang dipenjarakan.

Kasih dan sikap rela berkorban yang ditunjukkan telah memberikan kesaksian yang baik kepada staf penjara. Mereka dapat melihat bagaimana Saksi-Saksi Yehuwa menjaga rakan seiman, bahkan mereka yang tidak saling berkenalan atau yang tinggal di tempat yang sangat jauh.

Adalah sangat menggalakkan untuk mendengar laporan bahawa saudara-saudara kita sedang mengikut nasihat di Ibrani 13:3. Ayat itu berbunyi, “Ingatlah akan orang yang dipenjarakan, seolah-olah kamu juga dipenjarakan bersama-sama mereka. Ingatlah akan orang yang dilayan dengan buruk, seolah-olah kamu juga dilayan dengan buruk bersama-sama mereka.”