Lompat ke kandungan

Saudara Igor Avramenko bersama isterinya, Yelena

30 MAC 2020
RUSIA

Pegawai FSB di Rusia Menggeledah Rumah Saudara yang Telah Meninggal

Pegawai FSB di Rusia Menggeledah Rumah Saudara yang Telah Meninggal

Pada 23 Mac 2020, Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) di Wilayah Khabarovsk telah menggeledah rumah Saudara Igor Avramenko dan mengakibatkan banyak kerosakan. Saudara Igor baru sahaja meninggal enam hari yang lalu akibat masalah jantung. Para pegawai membawa waran geledah dengan nama Saudara Avramenko, namun mereka merampas komputer, kamera, dan beberapa barang peribadi milik balunya, Yelena.

Pada hari itu, para pegawai telah pergi ke tempat kerja Saudari Avramenko lalu membawanya pulang ke rumah. Di rumahnya, ketua penyiasat, Stanislav Grebenkin, telah menunggunya dan menunjukkan waran geledah tersebut. Saudari Avramenko memberitahu Encik Grebenkin bahawa suaminya telah meninggal. Walaupun Encik Grebenkin mengetahui hal itu, dia tetap ingin menggeledah rumahnya dengan alasan bahawa surat itu telah dikeluarkan sebelum kematian Saudara Avramenko.

Dia meyakinkan Saudari Avramenko bahawa mereka tidak akan ambil banyak masa untuk menggeledah rumahnya. Mereka sekadar ingin “menutup kes ini dengan segera lalu memfailkannya dalam arkib [FSB].” Namun, mereka telah menggeledah rumahnya dengan teruk sekali dan mengakibatkan banyak kerosakan.

Di Wilayah Khabarovsk, 10 orang Saksi telah dituduh melakukan jenayah. Walaupun pihak berkuasa cuba melemahkan iman saudara saudari kita di Rusia, kita tahu bahawa jika mereka ‘bertenang dan percaya kepada Yehuwa, mereka akan dikuatkan.’—Yesaya 30:15.